Skip to main
Logo Malaysiakini

Bicara kes saman Khairuddin ke atas IGP pada 1 Sept

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh baharu bermula 1 Sept depan untuk perbicaraan kes saman Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan terhadap bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan enam lagi berhubung penahanan dan pendakwaannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Peguam Irzan Iswat Mohd Nor yang mewakili Khairuddin selaku plaintif ketika dihubungi pemberita berkata Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon menetapkan 1 hingga 4 Sept untuk perbicaraan kes saman berkenaan.

"Sepatutnya, perbicaraan kes itu bermula pada 1 Jun ini, namun ia ditangguhkan berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh kerajaan," katanya.

Peguam itu berkata pihak plaintif akan mengemukakan enam saksi manakala defendan akan memanggil empat saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

"Mahkamah juga mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan penyataan saksi sebelum atau pada 16 Julai ini selain menetapkan 17 Julai untuk pengurusan kes melalui aplikasi dalam talian (Skype)," katanya.

Khairuddin memfailkan saman itu terhadap ASP Wan Aeidil Wan Abdullah dan ASP C. Muniandy; kedua-duanya pegawai penyiasat daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman; Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Supt Habibi Majinji dan Khalid yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga keempat.

Turut dinamakan sebagai defendan kelima hingga kelapan ialah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud, Peguam Kanan Persekutuan Awang Armadajaya Awang Mahmud, Mohamed Apandi dan Kerajaan Malaysia.

Dalam saman yang difailkan pada Mei 2018, Khairuddin mendakwa beliau telah ditahan pihak berkuasa pada 18 Sept 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Pada 23 Sept tahun sama selepas dibebaskan, plaintif ditahan semula mengikut SOSMA dan telah berada dalam tahanan sebelum dituduh di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur mengikut Seksyen 124L akta sama atas dakwaan cuba melakukan sabotaj pada perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

Secara keseluruhan, plaintif telah ditahan selama 60 hari di penjara Sungai Buloh.

Bagaimanapun pada 12 Mei 2017, mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan tidak akan meneruskan pendakwaan terhadap plaintif dan Khairuddin dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Plaintif mendakwa tindakan semua defendan menahan dan mendakwanya di mahkamah dilakukan dengan niat jahat dan melanggar hak kebebasannya di bawah Perlembagaan Persekutuan selain mendakwa reputasi dan imejnya sebagai ahli politik telah terjejas.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM5.23 juta, ganti rugi teladan sebanyak RM2.6 juta dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM1 juta, ganti rugi teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

- Bernama