Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tindakan tegas ke atas pemandu mabuk tapi usah sekat jualan arak'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Beberapa pemimpin politik dan NGO berpendapat kerajaan tidak boleh bertindak secara terburu-buru dalam menangani isu pemandu mabuk dengan melarang penjualan minuman keras.

Sebaliknya, mereka berkata penguatkuasaan undang-undang yang tegas mampu menyelesaikan bukan sahaja isu pemandu mabuk, malah kemalangan jalan raya yang berpunca akibat kecuaian.

Ahli Dewan Negara, T Mohan berkata, larangan minuman keras tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya kerajaan perlu menggandakan lebih banyak kempen kesedaran mengenai bahaya minuman alkohol bermula di peringkat sekolah.

"Ia perlu bermula di peringkat awal untuk memberi kesedaran berhubung bahaya minuman arak. Saya percaya ia sedikit sebanyak akan membantu anak-anak kita tidak terdedah kepada arak," katanya kepada Malaysiakini.

Buka sehingga jam 9 malam saja

Dalam pada itu, Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai David Marshel berkata kerajaan perlu menetapkan premis yang khusus untuk penjualan arak dan mengehadkan masa penjualan setakat jam 9 malam.

"Saya berpendapat kebenaran menjual arak hampir semua tempat perlu dilarang. Buat masa ini ada peraturan kedai runcit tidak boleh menjual arak selepas 9 malam tetapi ia tidak dapat diselia secara rapi.

"Sebagai contoh di Seberang Perai (Pulau Pinang) terdapat lebih 600 premis menjual arak dan ada hanya lebih kurang sembilan pegawai penguatkuasa kastam untuk kawal selia. Mustahil bagi mereka untuk berbuat demikian," katanya.

David yang juga ketua koordinator Malaysia Anti Cheap Liquor Movement, menabah kerajaan hanya perlu memberi lesen khas kepada kedai yang khusus menjual minuman keras.

"Contohnya, jika kedai itu menjual minuman arak, ia boleh jual rokok tetapi barangan keperluan lain tidak dibenarkan untuk dijual. Kedai-kedai ini juga hanya boleh dibuka sampai 9 malam sahaja. 

"Dengan ini isu pemandu mabuk dapat dikurangkan," katanya menambah restoran dan kelab malam yang menjual minuman keras juga perlu pemantauan rapi daripada pihak berkuasa.

PAS ada agenda tersembunyi

Sementara itu, Presiden Gagasan Sosial Dinamik, V Thiagarajen menyifatkan seruan PAS agar kerajaan menggantung pengeluaran dan penjualan arak sebagai mempunyai agenda tersembunyi, selain menjadikan isu tersebut sebagai isu perkauman.

"Ramai bertanya-tanya kenapa PAS hanya memberi perhatian kepada alkohol tetapi tidak kepada gejala dadah. 

"Saya tidak pernah baca mana-mana pemimpin PAS minta kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap keganasan akibat gejala dadah. Apakah PAS mempunyai agenda tersembunyi?" soal beliau.

Beliau mengulas mengenai cadangan Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad agar kerajaan segera menggantung pengeluaran dan penjualan arak sehinggalah isu kemalangan melibatkan pemandu mabuk diselesaikan.

"Beliau (Kamaruzaman) kata kerajaan perlu larang arak kerana ada isu pemandu mabuk. Pada masa yang sama statistik menunjukkan kecuaian penunggang motosikal menyumbang utama kemalangan jalan raya. 

"Adakah PAS akan meminta larang motosikal di Malaysia selepas ini?" soalnya.

Tambah beliau, larangan penjualan minuman keras tidak seharusnya berlaku dalam sebuah negara demokratik, malah ia hanyab akan menjejaskan pendapatan kerajaan sebanyak RM5 bilion setahun dari segi duti import minuman beralkohol.

"Sektor arak ini juga melibatkan lebih 25,000 pekerja. Maka, kerajaan perlu berhati-hati ketika mengambil sebarang tindakan," katanya.

Bagaimanapun, Thiagarajen bersetuju bahawa perlu ada undang-undang baru untuk menangani isu pemandu mabuk.

"Saya sangat bersetuju kerajaan perlu menggubal undang-undang baru yang lebih tegas bukan sahaja terhadap pemandu mabuk, malah kepada semua jenis kesalahan yang melibatkan kemalangan meragut nyawa akibat kecuaian," katanya.