Skip to main
Logo Malaysiakini

Azam Baki nafi laporan kaitkan SPRM dengan firma siber Israel

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki menafikan laporan yang mengatakan bahawa syarikat siber Israel, Senpai ada membincangkan perjanjian bernilai berjuta dolar dengan pihak mereka yang melibatkan penjualan teknologi pengawasan.

"SPRM belum pernah mendengar mengenai syarikat ini sebelumnya, dan kami tidak pernah berurusan dengan mereka atau memperoleh sistem daripada mereka seperti yang didakwa dalam artikel itu.

"Saya sangat jelas. Saya tidak tahu dari mana cerita ini dan siapa yang menulis berita palsu itu," katanya kepada Malaysiakini.

Laman web teknologi teknologi CTech yang berpusat di Israel sebelum ini melaporkan dengan memetik dokumen mahkamah sebagai mendakwa bahawa kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian untuk memperoleh sistem yang membolehkannya mengumpulkan maklumat dan menganalisis data mengenai kegiatan orang awam.

Sistem ini didakwa bertujuan untuk digunakan oleh polis cawangan khas (SB) untuk mengawasi aktivis politik pembangkang, menurut dokumen mahkamah yang diperoleh dan ditinjau oleh Calcalist, surat khabar CTech.

Syarikat yang membangun dan membekalkan sistem itu adalah Senpai Technologies Ltd, sebuah syarikat kecil keselamatan siber Israel yang menandatangani perjanjian itu pada April 2018, hanya sebulan sebelum BN yang ketika itu diterajui Najib tewas buat pertama kali dalam pilihan raya umum.

Laporan tersebut mendakwa bahawa pada pertengahan tahun lalu, syarikat itu sedang membincangkan kemungkinan adanya kontrak baru dengan SB, yang mempunyai implikasi baru setelah kekalahan bersejarah Najib.

Dokumen mahkamah itu juga mendedahkan perbincangan e-mel yang melibatkan pengasas bersama Senpai, Eric Banoun mengenai cadangan perjanjian fasa dua yang dibincangkan setelah Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada Mei 2018.

Dalam e-mel perbincangan itu, Banoun dikatakan menganggarkan tawaran dengan SB bernilai AS$300,000 hingga AS$ 400,000 (RM1.3 juta hingga RM1.7 juta), antara AS$2 juta hingga AS$2.5 juta (RM 8.7 juta hingga RM10.9 juta) dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO), antara AS$800,000 hingga AS$ 2,2 juta (RM3.5 juta hingga RM9,6 juta) dengan SPRM dan jumlah yang serupa dengan polis.

"Saya tidak mahu mengulas mengenai orang lain kerana saya tidak tahu apa fakta yang mereka ada," kata Azam.

"Tetapi untuk SPRM, kami menafikan ada perjanjian, mempunyai peralatan atau apa-apa urusan dengan Senpai Ltd.

"Kami bahkan tidak diberi anggaran untuk membeli produk tersebut. Kementerian Kewangan akan mempunyai rekod sekiranya kami membeli produk itu kerana dana kami dari mereka (Kementerian Kewangan)," tambahnya.

Untuk rekod, Azam bukan ketua pesuruhjaya SPRM pada masa itu tetapi menerajui pengendalian operasi.

"Saya bukan ketua pesuruhjaya SPRM pada masa itu tetapi jika ada pembelian seperti itu, saya pasti akan tahu kerana saya bertanggungjawab dalam operasi.

"Tidak ada pembelian seperti itu yang dilakukan oleh ketua pesuruhjaya ketika itu (Latheefa Koya). Sekiranya ada rancangan, pasti ada pembentangan dan seumpamanya," katanya.

Sementara itu, Najib juga menafikan laporan tersebut, mengatakan bahawa fasa pertama melibatkan SB dan bukan PMO, dan menambah bahawa beliau tidak akan campur tangan dalam perjanjian seperti itu.

Najib juga mengatakan fasa kedua yang dicadangkan bernilai sekurang-kurangnya tiga kali lebih tinggi.

Najib turut berkata bahawa perdana menteri PH ketika itu, Dr Mahathir Mohamad harus disoal mengenai perkara berkenaan.