TYT baru Melaka angkat sumpah Jumaat ini
Majlis angkat sumpah jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka yang baru dijadual berlangsung di Balai Istiadat, Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di Melaka, Jumaat ini.
Ia dijadual berlangsung pada jam 10 pagi, lapor Bernama yang memetik kenyataan Jabatan Ketua Menteri Melaka kepada agensi berita nasional itu.
Acara itu akan diikuti dengan majlis serah tugas daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka Dr Mohd Khalil Yaakob kepada penggantinya pada jam 11 pagi.
Majlis serah tugas jawatan itu akan bermula dengan bacaan doa oleh Mufti Melaka Abdul Halim Tawil, sebelum ucapan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.
Mohd Khalil kemudian dijadual menyampaikan ucapan diikuti ucapan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka yang baru, menurut laporan itu lagi.
Tak sebut siapa, tapi media lapor Ali Rustam
Laporan itu tidak menyebut siapa yang bakal dilantik.
Bagaimanapun, Sinar Harian pada 28 Mei lalu dan dan The Star sehari selepas itu, melaporkan Mohd Ali Rustam, bekas ketua menteri, dijangka akan mengambil watikah sebagai Yang Dipertua Melaka yang baru pada 3 Jun (Rabu ini).
Memetik sumber, akhbar itu melaporkan, setakat laporan itu ditulis, Ali dan keluarga sedang menjalani kuarantin di rumah 14 hari sebelum istiadat mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.
"Saya dimaklumkan satu nama sahaja yang ada iaitu nama Tan Sri dan sekarang beliau dalam tempoh kuarantin agar istiadat mengangkat sumpah bagi jawatan itu berjalan lancar.
"Dijangkakan pada 3 Jun ini, Tan Sri Mohd Ali akan ke Kuala Lumpur untuk mengambil watikah sebelum majlis angkat sumpah berlangsung 5 Jun ini," beliau dipetik sebagai berkata oleh harian itu.
Malaysiakini telah menghubungi Ali dan sedang menunggu maklum balasnya.
Bantahan MP, saranan Ibrahim Ali
Anggota Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong sebelum ini menyatakan kebimbangan terhadap calon yang dikatakan akan mengisi jawatan itu, termasuk Ali.
Khoo berkata Ali pernah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno pada 2009 kerana terlibat dalam politik wang.
Seorang lagi nama yang disebut-sebut - anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Zahid Mat Arip - pula pula menjadi saksi dalam perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta yang dihadapi Isa Samad.
Kes itu melibatkan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suits (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).
Zahid ketika dihubungi Malaysiakini sebelum ini enggan mengulas itu itu.
Parti Putra pimpinan Ibrahim Ali sebelum ini mencadangkan supaya jawatan Yang di-Pertua Melaka diisi oleh tokoh perundangan, keselamatan negara ataupun ilmuwan berbanding melantik pemimpin politik.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai