Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tangkap 5 ahli kesatuan di luar Hospital Ipoh

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis telah menahan Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) M Saraswathy dan empat yang lain tengah hari ini ketika membantah majikan Edgenta UEMS di luar Hospital Ipoh.

Kesatuan ini mewakili ahli para pekerja pembersihan di hospital kerajaan di negeri utara Semenanjung Malaysia.

Ahli NUWHSAS mengadakan tunjuk perasaan terhadap majikan mereka, mendakwa pihak majikan menggunakan taktik untuk menyekat kegiatan kesatuan pekerja.

"Walaupun seluruh dunia menzahirkan rasa terima kasih kepada pekerja barisan depan kerana membahayakan nyawa mereka untuk melawan Covid-19, syarikat berkaitan kerajaan ini Edgenta UEMS telah melakukan serangan terhadap pekerjanya dan anggota kesatuan sekerja," kata Pegawai Perhubungan Perusahaan kesatuan itu V Selvam.

Selain Saraswathy, mereka yang ditangkap termasuk pegawai kesatuan sekerja, L Danaletchumy dan V Santhiran, serta anggota PSM P Jothi dan C Subramaniam @ Raja.

Selvam mendakwa ahli NUWHSAS berterusan menghadapi gangguan, penganiayaan dan sekatan terhadap kegiatan kesatuan sekerja.

"Sejak awal tahun ini, ahli kesatuan sekerja, terutama anggota jawatankuasa tempat kerja telah dikenakan tindakan mengubah waktu kerja dan syif mereka dengan sengaja tanpa persetujuan terlebih dahulu daripada mereka.

"Pekerja yang aktif dalam kesatuan juga dihukum dengan sewenang-wenangnya memindahkan mereka ke hospital yang jauh dari tempat tinggal mereka dan jawatankuasa tempat kerja kesatuan dilarang mengadakan perbincangan dengan pekerja walaupun pada waktu rehat yang sah," kata Selvam.

Malaysiakini sedang menghubungi Edgenta UEMS bagi meminta penjelasan mengenai dakwaan kesatuan dan penangkapan ahli NUWHAS hari ini.

[Baca berita penuh]