Skip to main
Logo Malaysiakini

9 Jun keputusan saman pelucutan hak wang 1MDB yang dikaitkan dengan Jakel Trading

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan mengenai permohonan kerajaan untuk melucut hak wang berjumlah RM628,314 yang didakwa berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disita daripada Jakel Trading Sdn Bhd.

Keputusan itu sepatutnya diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh pada 4 Jun tetapi dijadualkan semula pada 9 Jun, 9 pagi.

Peguam Jakel Trading Thevini Nayagam berkata demikian, ketika dihubungi hari ini.

Pada Jun tahun lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan saman pelucutan hak terhadap 41 entiti yang terdiri daripada individu, syarikat dan parti politik, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan 1MDB.

SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan secara tidak sah daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

-Bernama