Skip to main
Logo Malaysiakini

Peguam sekali lagi fail permohonan semak keputusan DNAA Riza Aziz

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang peguam kanan memfailkan tiga permohonan baru agar Mahkamah Tinggi menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) anak tiri Najib Razak, Riza Aziz dalam kes pengubahan wang haram melibatkan dana AS$248 juta (RM1.08 bilion) berkaitan 1MDB.

Ia selepas hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan sama oleh peguam tersebut, Shaharudin Ali.

Bercakap dengan Malaysiakini, Shaharudin berkata pada 31 Mei, beliau menghantar tiga permohonan kepada tiga hakim Mahkamah Tinggi lain, iaitu Collin Lawrence Sequerah, Mohd Nazlan Mohd Ghazali and Rozana Ali Yusoff.

Peguam kanan itu berkata, beliau memohon "intervensi tiga hakim tersebut untuk memanggil rekod Mahkamah Sesyen yang membuat tawaran DNAA itu".

Beliau berkata: "Dalam permohonan awal saya, hakim yang bijaksana (Zaini) tidak memanggil rekod Mahkamah Sesyen sebelum menolak permohonan saya, tanpa memberikan apa-apa sebab.

"Saya harap salah seorang hakim (Sequerah, Nazlan atau Rozana) akan memanggil fail itu dan memutuskan perkara itu menurut undang-undang."

'Tiada prosiding semakan pernah dibuat'

Ditanya berkenaan sama ada beliau masih boleh membuat permohonan sama walaupun telah ditolak hakim sebelum ini, Shaharudin berkata tiada prosiding semakan pernah dibuat memandangkan Zaini menolaknya tanpa memberi sebarang sebab, dan ia tidak pernah ditentukan berdasarkan merit.

Menurut salinan permohonan yang dilihat Malaysiakini, Sahahrudin berkata istilah "Seorang hakim" dalam Seksyen 323(1) Kanun Tatacara Jenayah menunjukkan mana-mana hakim Mahkamah Tinggi (Jenayah), yang sesuai untuk perkara itu dibawa ke perhatian mereka.

Menurut Seksyen 323(1), seorang hakim boleh memanggil dan memeriksa rekod sebarang prosiding Mahkamah Jenayah Rendah dengan tujuan memuaskan hatinya tentang kebetulan, kesahan atau kesusilaan sebarang pendapat, hukuman atau perintah yang telah direkodkan atau dijatuhkan, dan tentang ketetapan mana-mana prosiding Mahkamah Rendah berkenaan.

Kata Shaharudin, ia tidak bermakna "hakim tertentu saja" kerana ia bermakna membuat pentafsiran "yang tidak pernah dihasratkan Parlimen".

"Selanjutnya, bagaimana Yang Arif (Zaini) boleh menolak surat saya bertarikh 20 Mei 2020 tanpa langsung memanggil rekod kes Riza Aziz?

"Inilah hal-hal yang perlu dihujahkan dengan lebih terperinci. Tiada lagi kes semakan yang telah diuji seperti ini sebelum ini dan satu kes yang boleh menjadi duluan jelas berada di depan kita," katanya lagi.

[Baca berita asal]