Skip to main
Logo Malaysiakini

Kelantan mula benarkan solat Jumaat 40 jemaah minggu ini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) mengumumkan kebenaran menunaikan solat Jumaat dengan kapasiti jemaah berjumlah 40 orang dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), bermula 5 Jun ini.

Yang Dipertua Maik Tengku Temenggong Kelantan Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, perkara telah diperkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Beliau berkata, peningkatan daripada 12 kepada 40 orang itu melibatkan imam tua, imam muda, bilal, siak, ahli jawatankuasa masjid dan anak-anak mukim (penduduk) yang terpilih.

"Ia selaras dan mendapat pandangan mufti negeri Kelantan dan Kementerian Kesihatan. Pelaksanaan solat fardu Jumaat ini mestilah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Pertama perlu memastikan hanya pegawai-pegawai masjid berkenaan sahaja dibenarkan serta tidak melebihi jumlah 40 orang. Menyediakan senarai dan maklumat jemaah yang terpilih dan mendaftarkan kehadiran di dalam buku pendaftaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Mohamad Rizam juga berkata langkah-langkah keselamatan juga perlu dilakukan misalnya mereka yang mempunyai suhu badan melebihhi 37.4 darjah celcius serta menunjukkan gejala seperti batuk, demam dan selesema tidak akan dibenarkan masuk ke masjid.

Selain itu, katanya kanak-kanak dan mereka yang berusia 70 tahun ke atas dilarang hadir, dan hadirin pula mesti memakai pelitup muka dan menulis nama dalam buku kehadiran.

"Penjarakan sosial satu meter di antara jemaah ketika solat dan menyediakan cecair pembasmi kuman di pintu-pintu utama untuk kegunaan jemaah ketika masuk dan keluar dari masjid," katanya lagi, sambil menambah khutbah dan solat perlu diselesaikan dalam tempoh 20 minit setelah azan.

Katanya lagi, jemaah juga perlu membawa sejadah dan siap berwuduk di rumah masing-masing, serta segera meninggalkan masjid setelah selesai solat.

"Kebenaran pelaksanaan solat fardu Jumaat ini tertakluk kepada kepada kehadiran sekurang-kurangnya seorang anggota polis di setiap masjid.

"SOP sebagaimana diatas hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid. Tindakan sewajarnya akan diambil diatas kegagalan untuk mematuhi SOP ini," katanya lagi.