Skip to main
Logo Malaysiakini

S'gor catat belanja perlindungan alam sekitar tertinggi pada 2018

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perbelanjaan perlindungan alam sekitar bagi 2018 mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan 4 peratus kepada RM2.7 bilion berbanding 2017, demikian menurut Laporan Survei Perbelanjaan Perlindungan Alam Sekitar 2019.

Survei bagi tahun rujukan 2018 itu menunjukkan perbelanjaan operasi tertinggi iaitu 73 peratus manakala 27 peratus lagi dibelanjakan bagi perbelanjaan modal.

Mengulas laporan tersebut, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perbelanjaan pengurusan pencemaran menjadi penyumbang terbesar iaitu RM1.835 bilion atau 68.1 peratus; pengurusan sisa pula RM726.1 juta (26.9 peratus); manakala perbelanjaan penilaian dan caj alam sekitar RM91.6 juta (3.4 peratus).

Mohd Uzir berkata sektor pembuatan mendominasi keseluruhan perbelanjaan perlindungan alam sekitar pada 2018 pada RM1.82 bilion atau sumbangan 67.5 peratus, diikuti perlombongan dan pengkuarian RM305.5 juta (11.3 peratus) dan perkhidmatan RM293.9 juta (10.9 peratus).

Selangor merupakan negeri yang mengeluarkan perbelanjaan perlindungan alam sekitar tertinggi iaitu RM500.6 juta atau 18.6 peratus, diikuti Johor dan Kuala Lumpur dengan masing-masing RM326.5 juta (12.1 peratus) dan RM325.2 juta (12.1 peratus) serta Negeri Sembilan RM292.3 juta (10.8 peratus).

"Keempat-empat negeri ini memberi sumbangan sebanyak 53.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan," katanya.

- Bernama