Skip to main
Logo Malaysiakini

Buka sekolah: Cikgu bersedia, tapi bimbang penjarakan sosial pelajar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

TINJAUAN | Hari ini, Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah akan diedarkan mulai esok bagi membolehkan pihak sekolah dan guru-guru membuat persediaan sewajarnya.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata sekatan di beberapa sektor mungkin akan dilonggarkan jika jumlah kes Covid-19 baru menunjukkan angka terkawal, termasuklah sektor pendidikan.

Untuk sekolah menengah, rata-rata guru yang dihubungi menyatakan bahawa pihak sekolah telah membuat persediaan awal bagi menghadapi pembukaan semula sekolah.

Bagi guru biologi di SMK Baling, Ahmad Kamil Yusoff, 33, persediaan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pengurusan sekolah telah dibereskan sejak bulan puasa lagi, terutama berkenaan bilangan maksimum 17 pelajar sekelas (atau 20 untuk kelas besar) dan peranti memeriksa suhu.

Katanya, bagi kelas yang mempunyai bilangan terlalu ramai pelajar dipecahkan menjadi dua kelas, manakala tanda di lantai juga disediakan menggunakan pita pelekat, bagi memastikan penjarakan sosial di kawasan kantin dan kedai koperasi.

“Untuk pihak sekolah, kalau kata KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) nak umum sekolah buka semula dalam tempoh dua minggu lagi untuk sekolah yang memiliki tingkatan 5 dan 6, sudah pasti sekolah sudah bersedia. Cuma tunggu pengumuman saja sekarang ni.

“Di sekolah saya, memang dah settle dah.. Sebelum raya lagi kami dah susun meja. Lepas raya, buat tanda (di lantai) di kantin dan koperasi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Lawatan Jabatan Pendidikan Negeri ke SMK Baling.

Bagaimanapun, jelas Kamil, persediaan yang dibuat oleh pihak sekolah menumpukan pada pelajar tingkatan 5 dan 6 sahaja, seperti diumumkan kerajaan sebelum ini, dan ditekankan sekali lagi oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Untuk rekod, pelajar tingkatan 5 dan 6 akan menduduki peperiksaan penting Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Menurut Kamil, setelah meja disusun semula bagi mematuhi SOP, kelas tingkatan 5 di sekolahnya dipecahkan dari lima menjadi sembilan kelas, manakala bagi tingkatan 6 atas pula, bertambah dari lapan ke 10 sekolah.

Bimbang lepaskan anak

Malah tambahnya, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri Kedah turut turun padang bagi menjelaskan berkenaan SOP dan memantau persediaan dan pematuhan oleh pihak sekolah.

“Setakat ini, kalau di sekolah, cikgu tiada masalah, memang sudah bersedia, (cuma) sekarang dari pihak waris masih lagi wujud kebimbangan untuk melepaskan anak (kembali ke sekolah),” tambahnya.

Bagi Nara Nadiah Daud, 37, yang mengajar matematik di SMK Pulau Indah, Klang, meskipun menyatakan persediaan asas seperti tanda pita di lantai dan pensanitasi tangan telah dibereskan sejak bulan puasa, namun yang dirisaukannya adalah dari segi pergaulan antara pelajar.

“Sekolah menengah dia tiada masalah sangat, yang masalah apabila mereka ini nak ke kantinlah, berborak dengan kawan, tak jaga penjarakan sosial. Kami risau kami tak cukup guru untuk jaga.

“Saya cadangkan sekolah hanya dibuka untuk empat jam, dengan jadual berkala. Contohnya budak tingkatan 5 saja datang hari Isnin dan hanya belajar subjek teras selama empat jam. Lepas itu mereka dah boleh balik.

“Cara ini tak adalah pelajar nak ke kantin ke apa, pelajar duduk saja dalam kelas, yang bergerak hanya guru,” sarannya ketika dihubungi hari ini.

Kebimbangan itu dikongsi oleh guru sebuah sekolah menengah di Shah Alam, Nur Amy, 33, berkata guru-guru bimban mengenai tahap kesediaan pelajar untuk mengikuti SOP yang telah ditetapkan, terutamanya tentang penjarakan sosial.

Dia turut berharap, selepas sekolah dibuka nanti, ibu bapa akan turut memainkan peranan untuk mengambil cakna akan kesihatan anak masing-masing.

Waktu rehat berbeza

Bagi Kamil pula, antara cadangan yang sedang dipertimbangkan oleh sekolahnya bagi menangani masalah tersebut ialah penggiliran waktu, di mana pelajar tingkatan lima dan enam dilepaskan untuk waktu rehat pada masa yang berbeza.

“Untuk kurangkan pergaulan pelajar (di kantin),” katanya.

Meskipun garis panduan akan dikemukakan esok, tarikh sebenar pembukaan sekolah belum ditetapkan dan hanya akan diumumkan dua minggu sebelum ia dibuka.

Ia hanya akan membabitkan pelajar tingkatan 5 dan 6, melibatkan hampir 3,000 sekolah menengah di seluruh negara, manakala pelajar lain pula dijangkakan memulakan persekolahan bermula 2021.

Hal itu disambut baik oleh guru sekolah rendah, kerana menurut mereka, penjarakan sosial jauh lebih sukar dijaga untuk murid-murid sekolah rendah, seperti disuarakan Muhammad Saffuan Jaffar, 31 (gambar, bawah) dari Sekolah Kebangsaan Dato Sharif Hamid, Marudi, Sarawak ketika dihubungi hari ini.

“Budak-budak baru nak masuk ke sekolah, nak sesuaikan diri dengan norma baru, persekitaran baru. Apa yang dulu dia boleh buat (dulu), sekarang dia tak boleh buat.

“Jadi kita sebagai cikgu kena ambil tahu (langkah pencegahan mengikut garis panduan), supaya kita dapat kurangkan rasa bimbang itu (jika sekolah dibuka nanti). Rasa bimbang itu tetap ada,” katanya yang mengajar subjek matematik dan reka bentuk teknologi (RBT).

Bagi Surizan Hassan, 41 dari SK Shah Alam pula, antara yang menjadi kebimbangan dalam mengawal murid-murid sekolah rendah adalah proses memantau-selia akan mengambil lebih banyak masa, dan dikhuatiri mengganggu proses pembelajaran.

“Masalah bila nak periksa suhu ni, dia akan ganggu jadual mata pelajaran, dengan murid-murid susah kita nak kawal mereka punya penjarakan sosial, lebih-lebih lagi dah lama mereka tak ke sekolah.

“[...] Kami (guru) memang dah bersedia untuk sekolah buka dan kemungkinan pertukaran banyak dari aspek pelajaran. Cuma yang kami bimbang adalah dari aspek nak jaga penjarakan sosial murid sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.