Skip to main
Logo Malaysiakini

Ahli kesatuan pekerja pembersihan hospital akan dibebaskan petang ini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah Majistret menolak permohonan reman empat hari terhadap lima aktivis yang ditangkap ketika bantahan aman di luar Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh semalam.

Justeru mereka dijangka akan dibebaskan pada petang ini.

"Pagi ini polis gagal mendapat perintah reman untuk lima aktivis kesatuan sekerja yang ditahan.

"Polis memohon reman empat hari tetapi peguam memberitahu majistret bahawa tiada keperluan untuk itu memandangkan semua kenyataan sudah diambil.

'Maka majistret menolak permohonan reman dan mengarahkan polis membebaskan mereka sebaik urusan cap jari dan rekod lain selesai. Majistret mengarahkan mereka dibebaskan paling lewat pukul enam petang ini," kata Setiausaha Agung PSM A Sivarajan kepada Malaysiakini.

Mereka yang merupakan petugas barisan depan daripada Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) ditangkap dalam satu bantahan terhadap apa yang mereka dakwa sebagai taktik menyekat kegiatan kesatuan oleh majikan mereka, Edgenta UEMS.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas dakwaan menghalang penjawat awam melaksanakan tugas, serta Seksyen 269 Kanun Keseksaan berhubung perbuatan cuai dan menyalahi undang-undang yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa.

Mereka juga disiasat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Sivarajan berkata PSM masih bimbang bahawa lima aktivis tersebut, termasuk setiausaha eksekutif NUWHSAS M Saraswathy, masih boleh didakwa di masa akan datang.

"Kami menggesa polis untuk tidak mendakwa mereka kerana mereka mematuhi semua SOP kawalan gerakan ketika protes, tidak seperti keadaan lokap yang sesak yang perlu mereka hadapi semalam," katanya.

Protes semalam antara lain bagi menyuarakan bantahan terhadap apa yang mereka dakwa sebagai layanan buruk yang diterima pekerja pembersihan jospital oleh Edgenta UEMS, termasuk tiada peralatan perlindungan diri (PPE) yang cukup, penafian hak kesatuan, dan pemaksaan menukar waktu bekerja.

NUWHSAS mewakili ahli para pekerja pembersihan di hospital kerajaan di negeri utara Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapaun UEM Edgenta berkata pihaknya mempunyai protokol tertentu bagi melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja, dan komited untuk menyelesaikan masalah dalaman membabitkan pekerjanya secara aman.

[Baca berita asal]