Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: 93 kes baru, hampir semua warga asing

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Terdapat 93 kes baru Covid-19 yang dilaporkan hari ini, dengan hampir semua melibatkan warga asing daripada kluster pusat tahanan Imigresen Bukit Jalil dan kluster kilang di Pedas, menurut Kementerian Kewangan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkata, 91 kes baru melibatkan warga asing, dengan 55 kes dikesan di pusat tahanan Imigresen Bukit Jalil dan 36 kes dari kluster Pedas.

"Hanya dua kes adalah di kalangan warga Malaysia. Tiada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara," katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan seramai 61 pesakit pulih dan dibenarkan pulang ke rumah hari ini, menjadikan jumlah kes pulih kepada 6,531 kes, iaitu 81.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ia menjadikan jumlah kes positif di Malaysia setakat ini kepada 7,970 kes, dengan 1,324 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.

Sebanyak enam pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian baru pesakit Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan hari ke-13 berturut-turut tanpa kematian.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan KKM setakat ini telah menjalankan ujian saringan terhadap 4,908 orang di empat pusat tahanan Imigresen, iaitu Bukit Jalil, Semenyih, Sepang dan Putrajaya.

Daripada jumlah itu, 3,267 orang didapati negatif dan 466 orang positif (termasuk seorang warganegara).

Sebanyak 1,175 sampel lagi sedang menunggu keputusan.

'Majikan perlu main lebih peranan'

Berhubung kluster kilang di Pedas pula, setakat ini sebanyak 256 kse telah disahkan dengan 242 daripadanya melibatkan warga asing.

"Ingin dimaklumkan bahawa kes positif baru ini dikesan hasil daripada saringan ulangan dalam tempoh mereka di pusat kuarantin.

"Mereka masih diasingkan di pusat kuarantin, justeru tidak membawa risiko penularan kepada masyarakat," kata Noor Hisham.

Noor Hisham menyeru pihak majikan memainkan peranan lebih besar dalam menangani Covid-19, memandangkan isu penularan di kalangan pekerja asing menjadi isu pertama yang perlu ditangani.

Atas tujuan itu, beliau antara lain mencadangkan majikan menyediakan penginapan yang boleh memastikan penjarakan sosial diamalkan, memastikan amalan pencegahan jangkitan setiasa diamalkan terutama di tempat kerja, dan menyaring pekerjas asing - terutama untuk sektor pembinaan dan keselamatan - jika mereka beroperasi di zon merah.