Skip to main
Logo Malaysiakini

Penduduk Tebing Barat tunjuk perasaan bantah rancangan Israel rampas tanah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | Puluhan penduduk Palestin pada Rabu mengadakan tunjuk perasaan di kota Nablus di Tebing Barat sebagai membantah rancangan Israel untuk merampas dan mengambil hak milik tanah Palestin, lapor agensi berita Xinhua.

Setiausaha Parti Fatah, Jihad Ramadan, berkata di Nablus, rakyat akan terus berjuang pertahankan hak dengan semangat yang tidak pernah luntur untuk menentang rancangan Israel itu.

Beliau turut mendesak Hamas menghentikan perpecahan dalaman yang sedang berlaku.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Selasa malam mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa krisis berhubung rancangan Israel itu dan pelan damai Timur Tengah Presiden Donald Trump.

Susulan mesyuarat itu, naib pengerusi Fatah Mahmoud al-Aloul berkata , keputusan kepemimpinan untuk menarik diri daripada semua perjanjian dan persefahaman yang disepakati dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS) "adalah muktamad".

Pemerhati mengatakan pengumuman Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk menguatkuasakan undang-undang Israel di Tebing Barat dan merampas sebahagian besar kawasan di wilayah yang diduduki bakal mencetuskan keganasan dan rusuhan.

Israel dijangka melaksanakan tindakan itu pada 1 Julai seperti yang dipersetujui antara Netanyahu dan Benny Gantz, ketua parti Biru Putih.

Rancangan itu diatur sebagai sebahagian daripada pelan damai Timur Tengah, juga dikenali "Perjanjian Abad Ini", diumum Presiden Donald Trump pada 28 Januari.

Menerusi rancangan AS itu Israel akan merampas 30-40 peratus wilayah Tebing Barat, termasuk seluruh Baitulmaqdis Timur.

-Bernama