Skip to main
Logo Malaysiakini

Armada Gerik berkecuali soal konflik dalaman Bersatu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mengambil pendirian berbeza daripada hampir semua bahagian Bersatu di Perak, Pemuda Bersatu (Armada) Gerik hari ini menyatakan pendirian berkecuali dalam konflik dalaman parti itu antara presiden Muhyiddin Yassin dan pengerusi yang dipertikai, Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Armada Gerik Dr Ahmad Safwan berkata, sokongan mereka dalam perkara itu hanya akan dinyatakan melalui peti undi ketika pemilihan parti, bukannya menerusi kenyataan media.

“Dalam kami menghormati pendirian pihak yang menyokong Tan Sri Presiden (Muhyiddin), kami juga menghormati pendirian pihak yang menyokong ayahanda Tun (Dr Mahathir) adalah pengasas yang membawa parti memenangi PRU yang lalu, manakala Muhyiddin adalah hulubalang yang bersama mengangkat parti bersama-sama beliau.

“Bagi menyantuni kesemua pihak, kami tetap akan berada di atas landasan prinsip dan menyatakan sikap berkecuali dalam berhadapan situasi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, 24 ketua bahagian Bersatu Perak dalam satu kenyataan bersama menyatakan sokongan kepada Muhyiddin selaku presiden.

Ia turut disokong 24 ketua Srikandi dan 21 ketua Armada negeri itu.

Pdaa 24 Mei lalu, Bersatu membatalkan keahlian Mahathir; timbalan presiden Mukhriz Mahathir; ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta anggota majlis tertinggi Bersatu Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.

Bagaimanapun mereka mempertikai pembatalan itu, antara lain berkata keengganan menyokong kerajaan Muhyiddin tidak bermaksud meninggalkan parti.

Ahmad Safwan berkata lagi, kemelut dalaman Bersatu yang bermula daripada Langkah Sheraton akhir Februari lalu wajar diselesaikan melalui perbincangan dan saluran parti.

“Malangnya, ia tidak berlaku kerana pendirian masing-masing untuk tidak berkompromi,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata Armada Gerik akan tetap menyokong semua kepimpinan parti yang sah.

“Adapun dalam isu pemilihan, kami akan menyatakan sokongan kami hanya melalui kotak-kotak undi, bukan melalui sebarang kenyataan media,” katanya.