Skip to main
Logo Malaysiakini

Pasar Jalan Othman dibuka semula Sabtu ini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya yang ditutup selepas dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) pada 10 Mei lalu akan dibuka semula pada 6 Jun ini.

Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ermeemarianna Saadon berkata, pasar tersebut akan dibuka secara berperingkat, bermula Sabtu ini.

"Mereka ini adalah peniaga-peniaga mematuhi tiga syarat penting ditetapkan iaitu ujian saringan Covid-19, pembersihan gerai dan menghadiri taklimat pada 27 Mei yang lalu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat kepada peniaga di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, hari ini.

Bagaimanapun katanya, setakat 30 Mei hanya 179 peniaga mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan MBPJ.

"Manakala, 81 peniaga yang tidak hadir pada taklimat pada 27 Mei akan dibenarkan beroperasi sekiranya mereka hadir ke taklimat hari ini.

"Sebanyak 43 peniaga yang masih tidak membuat ujian saringan Covid-19, mereka tidak akan dibenarkan dan lesen mereka akan dibatalkan. Mereka perlu membuat permohonan baru selepas ini," katanya.

Tambahnya, sebanyak 59 gerai yang masih kosong akan dibuka kepada 30 peratus golongan B40, manakala yang lain dibuka kepada semua peniaga.

Turut hadir dalam taklimat itu ialah Adun Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri dan dua Ahli Majlis MBPJ, Suriase Gengiah dan Sugumaran Annamalai.

Terdahulu, satu jawatankuasa khas ditubuhkan yang merangkumi lima orang untuk memantau keadaan dan kebersihan Pasar Jalan Othman, yang diketuai oleh Timbalan Datuk Bandar Azlinda Azman.

Sementara itu, Ermee berkata proses penyembelihan ayam akan dibekukan untuk mengekalkan tahap kebersihan dan kesihatan di pasar berkenaan.

"Selepas ini sebarang penyembelihan ayam tidak dibenarkan. Peniaga ayam hanya dibenarkan menjual ayam yang sudah disembelih sahaja.

"Sebanyak 24 tempat penyembelihan ayam sebelum ini akan ditukar kepada stor simpan kelapa," katanya.

Sewa bulanan dinaikkan

Dalam pada itu, sewa bulanan dinaikkan daripada RM250 kepada RM400,  manakala sewa di tingkat satu 1ditetapkan sebanyak RM200 sebulan .

"Sewa RM250 sebulan ini termasuk kemudahan utiliti. Buat masa ini, sewa gerai hanya RM140 sahaja. Ia tidak dinaikkan selama 20 tahun," katanya.

"Kami harap peniaga setuju dengan saranan kami kerana mereka hanya bayar RM13 sahaja untuk sehari. Ini termasuk bil utiliti," katanya.

Kawasan di sekitar Pasar Jalan Othman diletakkan di bawah PKPD pada 10 Mei lalu selepas Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat 26 kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.

PKPD di kawasan itu dijadualkan berkuat kuasa sehingga 23 Mei. 

Dianggarkan 2,900 penduduk dan premis perniagaan terjejas akibat PKPD di kawasan berkenaan.