Skip to main
Logo Malaysiakini

Inspektor polis, sarjan direman 5 hari disyaki minta rasuah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan seorang Sarjan direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dakwaan meminta rasuah daripada seorang peniaga kedai vape.

Tempoh reman bagi pegawai berusia 46 tahun dan anggota polis berumur 53 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Nur Farhana Abu Hassan setelah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kedua-dua lelaki itu ditahan SPRM secara berasingan pada pukul 7 malam dan 10 malam di sekitar Kepala Batas, semalam.

Kedua-dua suspek dipercayai telah meminta wang rasuah tersebut sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap peniaga terbabit yang membuka kedai tanpa kebenaran dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut sumber, pada mulanya Sarjan itu telah meminta dan menerima wang berjumlah RM3,000 daripada peniaga terbabit sebelum Inspektor berkenaan meminta RM5,000 lagi dan mengarahkan anggota polis tersebut mengambilnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang Lim Bee Kean ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut, namun enggan mengulas lanjut.

- Bernama