Skip to main
Logo Malaysiakini

Sarawak belum benar tadika beroperasi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sarawak masih belum membenarkan taman didikan kanak-kanak (tadika) beroperasi semula di negeri ini dan hanya membenarkan taman asuhan kanak-kanak (taska) sahaja beroperasi semula mulai 9 Jun.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Fatimah Abdullah hari ini berkata keputusan ini selaras dengan ketetapan kerajaan pusat yang telah mengumumkan kebenaran pembukaan semula taska berkuat kuasa serta-merta pada 2 Jun lepas.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) juga bersetuju cadangan kita bagi membuka semula taska sahaja di Sarawak bermula 9 Jun depan, manakala tadika belum lagi," katanya dalam sidang media majlis penyampaian Geran Tahunan Khas (GTK) kepada pengusaha taska dan tadika di Wisma Kebajikan, Petra Jaya, di Kuching.

Jelasnya, pihaknya sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan taska beroperasi semula di negeri ini dan hampir sama dengan SOP yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di peringkat kerajaan pusat.

Tegasnya, antara SOP berkenaan ialah pengusaha mesti melakukan kerja sanitasi di premis, menjarakkan tempat duduk kanak-kanak, tiada aktiviti berkumpulan, pemeriksaan suhu badan kanak-kanak sebelum memasuki kelas dan sebagainya.

"Bagi pelitup muka pula, kanak-kanak di taska tidak diwajibkan memakainya. Hanya golongan dewasa wajib memakainya termasuk guru dan ibu bapa mereka," katanya sambil menambah, guru dan ibu bapa juga perlu mengisi borang pengisytiharan kesihatan mereka.

Menurutnya, sehingga 31 Mei lepas, terdapat sebanyak 236 taska dan 2,877 tadika di Sarawak dan selepas ini pihaknya akan menyediakan SOP bagi pembukaan tadika pula.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 2,853 taska dan tadika terbabit telah membuat permohonan untuk mendapatkan GTK dan sebanyak 2,791 taska dan tadika telah diluluskan pembayarannya.

Katanya, kerajaan Sarawak meluluskan sebanyak RM16 juta bagi memberikan GTK sebanyak RM5,000 kepada taska dan tadika di negeri ini bagi menyediakan pemakanan seimbang, ‘fun learning’, pembangunan profesionalisme pendidik dan pengasuh.

Berikutan penutupan taska dan tadika akibat Covid-19, kerajaan Sarawak meluluskan geran itu bagi digunakan taska dan tadika untuk membayar sewa, membayar gaji guru dan kakitangan serta membantu pembelian barangan pembersihan dan sanitasi.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.