Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO, aktivis kecam pendakwaan ahli kesatuan sekerja

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

NGO Kumpulan Tindakan Bersama Bagi Kesaksamaan Gender (JAG) membidas keputusan polis mendakwa lima individu yang ditahan dalam protes Selasa lalu.

Lima individu berkenaan terdiri daripada pekerja pembersihan hospital, ahli kesatuan sekerja, dan penyokong mereka.

"Hentikan intimidasi polis dan sebarang cubaan untuk mendakwa pekerja barisan hadapan hospital yang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap majikan mereka - Edgenta UEMS, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Ini jelas adalah percubaan untuk membungkam kesatuan sekerja daripada menyuarakan rungutan pekerja yang serius terhadap majikan mereka, dan kami menyifatkan ini sebagai manipulasi terang-terangan terhadap undang-undang," kata JAG, sebuah gabungan organisasi hak-hak wanita di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Perkembangan ini hadir setelah lima individu itu didakwa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 di Mahkamah Majistret Ipoh pagi ini.

Pendakwaan itu dibuat selepas polis gagal mendapatkan reman empat hari.

JAG menggesa polis untuk menarik keputusan yang "menganiaya" lima pekerja dan ahli kesatuan sekerja yang menurut mereka, mengambil langkah akhir untuk menuntut hak melalui piket di hadapan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

"Sebaliknya, kita harus membenarkan tindakan industri untuk meletakkan tanggungjawab ke atas Edgenta UEMS berhubung amalan antipekerja dan taktik menyekat kesatuan sekerja.

"Kesatuan Nasional Untuk Pekerja Sokongan Hospital dan Perkhidatan Bersekutu (NUWHSAS) menjelaskan bahawa keputusan mereka untuk mengadakan piket aman adalah kerana semua usaha lain untuk berunding dengan majikan atau menyuarakan rungutan mereka dengan Jabatan Tenaga Kerja tidak mendapat tindakan susulan sementara kesihatan dan keselamatan pekerja kekal berada dalam bahaya, dalam persekitaran wabak sekarang," katanya.

Jelas JAG, piket yang dipimpin oleh kesatuan sekerja dengan 13 pekerja dan penyokong itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan semua langkah pencegahan diambil semasa ia berlangsung termasuklah memeriksa suhu badan peserta dan penjarakan sosial.

Sebelum ini, polis menahan lima ahli kesatuan itu termasuk setiausaha eksekutifnya M Saraswathy. Empat yang lain ialah pegawai kesatuan sekerja, L Danaletchumy dan V Santhiran, serta ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) P Jothi dan C Subramaniam @ Raja.

"Ketika kita bersama memuji barisan depan atas pengorbanan yang mereka lakukan setiap hari, kami sangat bimbang terhadap ketidakpedulian keselamatan pekerja barisan depan yang tidak kelihatan - pembersih hospital - yang juga membahayakan nyawa mereka.

"Tetapi risiko yang mereka terpaksa tanggung semakin tinggi dengan kurangnya peralatan alat pelindung diri (PPE) yang sesuai, terutama dengan persediaan topeng muka dan sarung tangan yang tidak mencukupi, ketika mereka membersihkan wad dan kemudahan Covid-19," kata kumpulan itu.

JAG menyifatkan tindakan Edgenta UEMS, anak syarikat UEM Edgenta yang merupakan GLC milik Khazanah Nasional, sebagai mengabaikan sumbangan berharga pekerja wanita terhadap ekonomi.

JAG berkata penolakan peruntukan khas kerajaan sebanyak RM600 (yang ditujukan untuk barisan hadapan) terhadap pekerja-pekerja berkenaan sebagai tidak bermoral dan tidak wajar dilakukan oleh pihak berkaitan

JAG juga berkata pihak mereka terkejut apabila mengetahui dari kesatuan itu bahawa syarikat GLC berkenaan akan mengekalkan upah gaji minimum RM1,100 tanpa kenaikan tahunan, cuti umum atau cuti sakit.

Anggota JAG yang menandatangani kenyataan itu termasuk Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS), Empower, All Women's Action Society (Awam), Pusat Perubahan Wanita (WCC), Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO), Persatuan Peguam Wanita (AWL), Justice for Sisters, Sisters in Islam (SIS), Daya Tindakan Wanita Sabah (Sawo) dan Tenaganita.

[Baca berita penuh]