Skip to main
Logo Malaysiakini

PM bakal umum pelan pemulihan ekonomi jangka pendek esok

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan menyampaikan perutusan khas melalui siaran langsung di saluran televisyen pada jam 3 petang esok untuk mengumumkan "pelan pemulihan ekonomi jangka pendek".

Pengumuman itu akan ke udara di stesen televisyen milik kerajaan, Bernama, RTM serta di TV3 dan Astro Awani.

Perutusan khas perdana menteri itu dibuat empat hari sebelum perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dijadualkan berakhir.

PKP bersyarat menyaksikan pelonggaran sekatan terhadap kebanyakan sektor ekonomi dan beberapa aktiviti sosial bermula pada 4 Mei lalu.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini berkongsi bahawa rancangan pemulihan ekonomi jangka pendek akan merangkumi enam bidang:

  1. Pengoperasian untuk menjamin kesihatan.
  2. Meningkatkan kebolehan (kemahiran serta ilmu) dan menjana pekerjaan.
  3. Menggalakkan perbelanjaan di kalangan pengguna.
  4. Sokongan pemulihan perniagaan PKS dan Mikro.
  5. Membina ketahanan dan pembangunan syarikat-syarikat.
  6. Meningkatkan keyakinan pelabur dan mengenal pasti peluang pembangunan jangka masa pendek.

Berdasarkan catatan Facebooknya pada bulan lalu, dbeliau telah mengadakan "sesi libat urus" dengan beberapa kementerian serta wakil daripada sektor e-dagang, teknologi, makanan dan minuman, barangan pengguna, telekomunikasi, penjagaan kesihatan swasta dan industri seni kreatif.

Beliau juga telah bertemu dengan sejumlah persatuan perniagaan dan pertubuhan profesional.

Muhyiddin telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada 27 Mac lalu.

Walaupun pakej rangsanan itu dipuji atas inisiatif seperti program subsidi upah, ia dikritik kerana tidak cukup untuk membantu perusahaan kecil dan sederhanan (PKS) menghadapi kegawatan ekonomi akibat wabak Covid-19.

Pada 6 April, PM melancarkan bantuan tambahan untuk PKS termasuk lebih banyak subsidi upah, pinjaman tanpa faedah dan pelepasan cukai kepada pemilik hartanah komersial yang mengurangkan sewa.

Dengan pelan pemulihan ekonomi terbaru ini, kerajaan PN sudah enam kali mengumumkan pakej rangsangan berikutan wabak Covid-19.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.