Skip to main
Logo Malaysiakini

Laporan: George Floyd disahkan dijangkiti Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | George Floyd, warga AS berkulit hitam yang meninggal dunia selepas ditahan polis pada 25 Mei lalu, disahkan positif Covid-19.

Berdasarkan laporan Reuters, perkara itu disahkan selepas ujian swab dibuat menggunakan sampel daripada mayat Floyd.

Malah Floyd dikatakan positif sejak 3 April lalu, kira-kira lapan minggu sebelum dia meninggal dunia.

Bagaimanapun, berdasarkan bedah siasat yang dilakukan, tidak ada sebarang petunjuk bahawa kematiannya adalah disebabkan oleh wabak berkenaan.

Berdasarkan laporan yang didedahkan pada Rabu lalu oleh Pejabat Pemeriksa Hennepin County, Floyd meninggal dunia akibat kegagalan kardiopulmonari (jantung) ketika ditahan polis 25 Mei lalu.

Dalam kejadian tersebut, Floyd, 46, meninggal dunia selepas pegawai polis Derek Chauvin menekan lututnya di leher mangsa selama hampir sembilan minit sehingga mangsa sukar bernafas.

Rayuannya berkenaan kesukaran itu juga didakwa tidak diendahkan anggota polis tersebut.

Dia ditahan kerana kerana didakwa cuba menggunakan wang palsu di sebuah kedai di Minneapolis, Minnesota.

Kematian Floyd menimbulkan kemarahan rakyat AS, terutama apabila rakaman video insiden itu tular di Facebook, mencetuskan protes besar-besaran sejumlah bandar di sana.

Ia turut mendapat perhatian dunia dengan gerakan Black Lives Matter (BLM) kembali hangat di media sosial, bagi menuntut keadilan sosial terhadap warga kulit hitam dan melawan keganasan serta perkauman terhadap komuniti itu.

Chauvin yang dipecat selepas kejadian itu, kini berdepan tuduhan membunuh tahap kedua, manakala tiga lagi pegawai polis dituduh bersubahat.