Skip to main
Logo Malaysiakini

'Undang-undang antilompat parti boleh hentikan debat tukar kerajaan'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Undang-undang antilompat parti boleh menamatkan perbahasan tanpa henti mengenai spekulasi pertukaran kerajaan dan kesahihan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Dalam wawancara dengan Sinar Harian, Saifuddin berkata dia menyaksikan banyak perdebatan hangat daripada pelbagai pihak berhubung isu itu.

"Misalnya, ada yang menyatakan kalau dikumpulkan jumlah yang mengundi PAS dan Umno maka sekian-sekian banyak berbanding dengan jumlah undi yang dikumpulkan untuk mereka yang mengundi PH, itu satu penghujahan.

"Ada satu lagi penghujahan yang menyatakan dalam sistem demokrasi Malaysia di mana pilihan raya itu keputusannya ditentukan dengan first past the post (FPTP) ada waktunya yang menang itu bukannya majoriti," katanya.

Saifuddin kemudian memberi contoh suatu kawasan pilihan raya yang mempunyai tiga orang calon, dengan calon A dapat 40 peratus undi, calon B dapat 30 peratus dan calon C dapat 30 peratus.

"Jadi yang menang itu (calon) mendapat 40 peratus tetapi kalau bercampur pula B dan C, maka yang itu menang. Jadi saya fikir hujah ini tidak akan berakhir.

"Yang boleh mengakhirkan mungkin, kalau ada undang-undang yang melarang ahli parlimen daripada melompat parti," katanya.

"Mungkin itu satu daripada kaedah untuk menghentikan bukan perbuatannya tetapi perdebatannya kerana tidak ada jaminannya perkara ini tidak akan berlaku dan di sesetengah negara lain sekali lagi saya tidak mengatakan ini mesti betul dan ini mesti salah," katanya lagi.

Saifuddin menambah bahawa dia lebih berminat untuk berhujah mencari bagaimana untuk meredakan, menghentikan atau meminimumkan perdebatan seumpamanya.

"Mungkin salah satu daripada caranya ialah mengadakan, mewujudkan undang-undang yang tidak membenarkan seorang wakil rakyat sama ada di peringkat parlimen atau Dewan Rakyat daripada melompat parti," katanya.

Saifuddin meninggalkan Umno pada 2015 untuk menyertai PKR.

Bagaimanapun, ahli parlimen Indera Mahkota itu merupakan antara wakil rakyat yang menyertai kumpulan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali meninggalkan parti dalam gerakan politik yang digelar 'Langkah Sheraton' pada Feb lalu.

Gerakan politik itu menyaksikan kerajaan PH tumbang hanya 22 bulan selepas memenangi pilihan raya umum ke-14.

Sementara itu, ketika ditanya tentang perasaannya apabila dituduh sebagai pengkhianat, Saifuddin mengakui tiada orang yang berfikiran waras yang tidak berasa sedih apabila dituduh sedemikian.

"Tetapi sekali lagi definisi yang perlu digunakan, situasi dan konteksnya dan saya fikir kalau kita benar-benar melihat persoalan politik yang sedemikian itu, sejarahnya ada juga sebelum ini.

"Jadi kalau kita nak menuduh itu biarlah kita berlaku adil bahawa insiden hampir sama walaupun tidak 100 peratus pernah berlaku sebelum ini.

"Saya tidak menolak bahawa mereka yang menuduh itu ada kewajaran. Itu hak mereka dan saya kena tanggunglah apa sahaja perbuatan saya tetapi kita hendaklah berlaku adil dan itu menjadi penyebab lagi satu, mengapa kerajaan sedia ada tidak bolehlah berlagak, tunjuk pandai tetapi kita perlu rendah diri," katanya.

Kata Saifuddin, PN mengambil alih kerajaan kerana "kegagalan" pentadbiran PH.

"Kalau tidak gagal kami tidaklah jatuhkan PH. Kalau tanya saya, memang saya jawab begitu. Untuk berlaku adil, kalaulah kebanyakan perkara yang diharapkan kerajaan, diharapkan rakyat kepada kerajaan dan PH mampu melaksanakannya saya fikir kita tidak perlu berada dalam suasana sekarang.

"Kejatuhan PH disebabkan ‘pergelutan’ dalam PH itu sendiri yang menyebabkan Dr Mahathir melepaskan jawatannya Februari lalu dan adakah kegagalan PH menyelesaikan masalah dalam menjadi punca PN wujud dan seterusnya melantik Muhyiddin," katanya.