Skip to main
Logo Malaysiakini

PDRM saran penjara mandatori buat pemandu mabuk

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis berpendapat hukuman penjara bersifat mandatori perlu disediakan dalam pindaan undang-undang untuk menangani isu pemandu mabuk di negara ini.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, berkata tindakan pemandu mabuk kerana mereka membahayakan nyawa orang lain.

"Perlu terdapat hukuman penjara mandotari (sebagai) pencegahan. Itu akan mencegah mereka (daripada memandu dalam keadaan mabuk).

"Jadi, jika anda biarkan mereka begitu saja (tanpa peruntukan penjara mandatori) - serahkan kepada hakim, kemudian mungkin akan terdapat perbezaan tafsiran daripada seorang hakim ke (hakim) yang lain," katanya kepada pemberita di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai cadangan kerajaan mahu meminda undang-undang mengenai pemandu mabuk, serta adakah akan lebih banyak operasi jalan raya yang diadakan vagi menghalang pemandu mabuk.

"Justeru, apabila kita buat hukuman penjara menjadi mandatori, itu akan menjadi sangat baik," kata Abdul Hamid.

Gesaan untuk hukuman lebih tegas timbul sejak zaman kerajaan Pakatan Harapan dan cadangan mengenainya sudah dibuat sebelum Langkah Sheraton berlaku dan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih Putrajaya.

Selepas itu kejadian kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk tidak berkurangan, mendorong orang ramai mendesak agar kerajaan bertindak tegas menanganinya.

Abdul Hamid berkata, beliau menyokong tindakan meminda undang-undang bagi kesalahan pemandu mabuk sama ada dari Kementerian Pengangkutan atau Kementerian Dalam Negeri.

Semalam, Menteri Pemgangkutan Wee Ka Siong, berkata pindaan undang-undang yang dicadangkan kerajaan mengenai hukuman yang lebih keras untuk kesalahan memandu dalam keadaan mabuk juga akan merangkumi kesalahan pemanduan secara berbahaya yang lain.

Menurut Wee, ia termasuk memandu di bawah pengaruh dadah, basikal lajak, dan mat rempit.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.