Skip to main
Logo Malaysiakini

Tahanan ke penjara akan jalani pemeriksaan Covid-19 terlebih dulu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata mana-mana tahanan yang akan dihantar ke penjara akan menjalani pemeriksaan kesihatan terelbih dulu bagi membendung penularan Covid-19 di pusat tahanan berkenaan.

Menurutnya, perkara tersebut telah dibincangkan bersama Ketua Pengarah Penjara Zulkifli Omar.

Kata Abdul Hamid, Zulkifli meminta supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat penyelarasan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia agar setiap individu yang akan dihantar ke penjara perlu menjalani pemeriksaan kesihatan Covid-19.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pendekatan holistik yang membabitkan tahanan, penempatan dan prosedur operasi standard (SOP) mengendalikan tahanan bagi menghalang penularan wabak tersebut di penjara.

Beliau ditemui di Putrajaya hari ini.

Kata Abdul Hamid, terdapat juga kes yang dianggap luar biasa apabila tahanan didapati positif meskipun tidak bercampur dengan orang ramai ketika di penjara, kecuali hadir ke mahkamah beberapa bulan sebelum dijangkiti.

"Lepas tu masuk ke dalam (penjara) dia positif. Jadi di mana dia dijangkiti kita tak tahu," katanya .

Pada 1 Jun lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejumlah 1,500 pegawai dan banduan di Penjara Sungai Buloh akan menjalani ujian saringan Covid-19 selepas seorang banduan di sana disahkan positif wabak itu. 

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid juga ditanya mengenai status kes tahanan warga Nepal yang mati di lokap polis Jinjang di Kuala Lumpur pada 31 Mei lalu.

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai kes tersebut diserahkan kepada ketua polis negeri berkaitan.

"Maklumat lanjut boleh dapatkan kepada CPO ketua polis negeri. Mana-mana negeri pun, tanyalah.

"Saya dah berikan kelulusan dan seluas-luas kebebasannya untuk menjawab apa jua pertanyaan media," katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata polis mendapati tiada unsur jenayah atau salah laku berhubung kematian tersebut. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.