Skip to main
Logo Malaysiakini

Di tengah spekulasi perubahan k'jaan, polis tumpu pada tugas, Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pula berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus fokus menjalankan tugasnya, di saat timbul spekulasi negara bakal berdepan pertukaran kerajaan sekali lagi.

Abdul Hamid berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan soal kestabilan negara berkaitan spekulasi tersebut,

"Kami amat fokus kepada Covid-19.

"Jadi daripada apa yang saudara-saudara dapat lihat, hampir 45 peratus kekuatan PDRM ini digunakan untuk menguatkuasakan PKP (perintah kawalan berkurung) dari peringkat pertama sehingga ke hari ini," katanya kepada pemberita di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

Katanya, apa yang paling penting adalah keadaan dalam negara kekal aman dan orang ramai dapat menjalankan kegiatan harian.

"Itu jaminan daripada saya," katanya lagi.

Khabar angin kebelakangan ini mengatakan bahawa PH bakal merampas semula kerajaan persekutuan daripada Perikatan Nasional setelah tumbang pada awal Mac lalu.

Ia ditambah lagi dengan peletakan jawatan Anggota Parlimen daripada Bersatu Shahruddin Salleh sebagai timbalan menteri Kerja Raya semalam.

Terdahulu, Abdul Hamid hadir ke majlis penyerahan kenderaan peronda baru PDRM yang menyaksikan pasukan itu menerima 30 buah kenderaan peronda baru model Honda Civic 1.8 hari ini.

Antara yang hadir dalam majlis tersebut merupakan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dan Timbalan Menteri I Ismail Mohamed Said.