Skip to main
Logo Malaysiakini

Cukai pelancongan dikecualikan sehingga 30 Jun tahun depan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Cukai pelancongan akan dikecualikan sepenuhnya mulai Julai ini sehingga 30 Jun tahun depan sebagai antara langkah mengaktifkan semula kegiatan industri pelancongan negara, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengakui bahawa ia merupakan antara sektor yang terjejas teruk akibat wabak COVID-19, beliau berkata pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan turut akan dilanjutkan mulai 1 Sept ini sehingga 30 Jun tahun hadapan.

Selain itu, katanya, penangguhan bayaran ansuran ke atas anggaran cukai yang perlu dibayar oleh perniagaan di bawah industri pelancongan seperti agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan bagi tempoh 1 April lepas sehingga 30 Sept dilanjutkan tiga bulan lagi mulai 1 Okt hingga 31 Dis.

"Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 yang telah diberikan ke atas perbelanjaan melancong dalam negara juga akan dilanjutkan sehingga 31 Dis 2021," katanya ketika membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung menerusi radio dan televisyen, hari ini.

Sementara itu, mengenai industri kreatif, hiburan dan acara pula, Muhyiddin berkata beliau turut mendengar keluhan daripada karyawan, pengarah filem, kru produksi dan pengurus acara.

"Sehubungan itu, beberapa program dan kemudahan kewangan untuk menjana semula industri kreatif negara yang berjumlah RM225 juta akan dilaksanakan melalui kerjasama antara MyCreative Ventures, MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia) dan pihak swasta," katanya.

- Bernama