Skip to main
Logo Malaysiakini

Kak Radziah, Datuk Lim terima manfaat dari Penjana, kata PM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dalam usaha untuk menerangkan dengan mudah tentang manfaat yang diterima oleh rakyat menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi memilih untuk menggunakan analogi karakter.

Jika sebelum ini, watak Makcik Kiah penjual goreng pisang dan Pak Salleh, pengusaha restoran menjadi sebutan, kali ini nama Kak Radziah dan Datuk Lim pula digunakan oleh Muhyiddin untuk menerangkan manfaat yang diterima melalui pelan ekonomi itu.

Kak Radziah, seorang pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) dipilih untuk menerangkan tentang manfaat pelanjutan subsidi upah selama tiga bulan lagi menerusi Penjana.

Sebagai seorang usahawan mikro, pengusaha taska itu sebelum ini menerima Geran Khas di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sebanyak RM3,000 sebelum ini.

“Di samping itu, dengan pembukaan semula taska selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), Kak Radziah juga sekarang layak menerima bantuan taska sebanyak RM5,000 dan juga insentif kursus asuhan RM900 bagi setiap pekerjanya,” kata perdana menteri.

Selain itu karakter Datuk Lim, seorang ahli perniagaan, digambarkan kini mampu untuk membeli pangsapuri dan kereta untuk anak dewasanya susulan langkah kerajaan mengecualikan cukai untuk pembelian harta berkenaan di bawah Penjana.

Menerusi Penjana juga, Datuk Lim menikmati internet percuma bagi membuat persidangan video dan dapat pengecualian cukai pendapatan untuk pembelian komputer riba baharunya.

Datuk Lim, sebelum ini mendapat moratorium pinjaman bank dan pengecualian levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) menerusi Prihatin yang membantu kelangsungan aliran tunai perniagaannya.

Sebelum ini, langkah Perdana Menteri menggunakan analogi untuk menerangkan faedah yang diterima oleh rakyat menerusi Prihatin pada 27 Mac lepas, dengan menggunakan watak Makcik Kiah sehingga menjadi sohor kini di media sosial.

Ia diikuti dengan watak Pak Salleh, seorang pengusaha restoran mi kolok di Kuching, Sarawak, dijadikan contoh dalam menerangkan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

- Bernama