Skip to main
Logo Malaysiakini

Komuniti perniagaan mahu penyampaian pelan pemulihan ekonomi lebih berkesan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Abdul Halim Husin memuji langkah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang disifatkan sebagai komprehensif.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kerajaan mengenai pentingnya dalam memastikan kecekapan pelaksanaan pelan ekonomi jangka pendek bernilai RM35 bilion ini.

Katanya, ini penting untuk memastikan bantuan dapat disalurkan kepada kumpulan sasaran, termasuk perniagaan dan pekerja yang terjejas akibat kemerosotan ekonomi yang berpunca akibat wabak Covid-19.

Merujuk kepada Kemudahan Bantuan Khas (SRF) iaitu kemudahan pinjaman yang diumumkan semasa pakej rangsangan ekonomi pada 27 Mac lalu, Abdul Halim berkata ada pemohon lewat menerima dana tersebut.

"SRF diumumkan pada bulan Mac dan permohonan diserahkan pada bulan April. Pinjaman yang seharusnya diberikan pada bulan Mei, hanya disalurkan kepada pemohon bulan ini," katanya.

"Walaupun (jika kerajaan) mendakwa semua wang SRF telah digunakan, itu tidak bererti wang itu sampai kepada pengusaha. Mereka masih dalam proses penilaian," katanya.

"Seolah-olah kamu melakukan larian sejauh 10km dan kamu sepatutnya diberi segelas air di pertengahan larian tetapi hanya dapat air di akhir larian," katanya.

Beliau berkata pinjaman diberikan tidak tepat pada masanya untuk menyelamatkan sesetengah perniagaan daripada gulung tikar, sementara yang lain terpaksa menawarkan cuti tanpa gaji dan memberhentikan pekerja mereka.

"Oleh itu, kerajaan harus mempercepatkan bukan sahaja proses peruntukan pinjaman dan geran, tetapi juga semua (40 inisiatif) yang digariskan dalam pelan pemulihan ekonomi ini," katanya.

Abdul Halim bagaimanapun memuji Muhyiddin kerana melibatkan DPMM dan komuniti perniagaan serta NGO dalam dua minggu terakhir sebelum mengumumkan pelan pemulihan ekonomi berkenaan.

Dalam pertemuan baru-baru ini, katanya, DPMM telah mengusulkan kepada keraajan untuk memperluas pelaksanaan subsidi gaji dan meningkatkan keterlibatan pengusaha Bumiputera.

[Baca berita penuh]