'Kenapa hanya 190,000 daripada lebih 550,000 OKU terima bantuan wang tunai?'
Tidak setiap orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menerima bantuan tunai sekali beri RM300 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata Nor Miswary Ramli yang merupakan setiausaha politik Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
"Menurut perdana menteri, lebih 300,000 OKU dan ibu tunggal yang tersenarai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) layak menerima bantuan tunai secara one-off (sekali beri) ini yang akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha.
"Jumlah tersebut dipecahkan kepada bilangan OKU seramai 190,000 orang dan ibu tunggal seramai 150,000 orang.
"Bagaimanapun, saya dimaklumkan bilangan OKU yang berdaftar dengan JKM di seluruh negara sehingga 30 Jun 2019 adalah berjumlah 549,554 orang," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, berdasarkan semakan di portal MaNIS milik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), jumlah OKU berdaftar dengan JKM dikemas kini sehingga 20 April 2019 adalah seramai 542,918 orang.
"Maka timbul persoalan, mengapa bantuan tunai secara one-off sebanyak RM300 yang diumumkan oleh perdana menteri semalam hanya diberikan kepada 190,000 OKU sahaja?
"Apakah nasib hampir 360,000 OKU yang lain? Adakah terdapat syarat-syarat tertentu bagi melayakkan mereka mendapat bantuan tunai one-off ini?
"Kerajaan PN melalui KPWKM perlu memberi penjelasan mengapa hanya 190,000 OKU sahaja yang akan menerima bantuan tunai secara one-off ini sedangkan jumlah OKU yang berdaftar dengan JKM adalah hampir seramai 550,000 orang (statistik sehingga 30 Jun 2019)," kata Nor Miswary.
Dia juga menggesa kerajaan memastikan agar tidak ada mana-mana OKU yang berdaftar dengan JKM akan tercicir daripada menerima bantuan tunai secara one-off sebanyak RM300 ini.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dengan suntikan fiskal langsung RM10 bilion.
Antara inisiatif dalam pelan itu ialah bantuan tunai RM300 sekali beri untuk OKU dan ibu tunggal yang berdaftar dengan JKM.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai