Skip to main
Logo Malaysiakini

MB Pahang: Beri laluan calon BN menang tanpa bertanding di Chini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Selepas PKR mengumumkan tidak akan bertanding pilihan raya kecil (PRK) Chini, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berharap parti politik dan calon bebas lain juga tidak akan meletakkan calon.

Justeru, kata Wan Rosdy, dengan demikian, kempen 14 hari dan PRK Chini pada 4 Julai 2020, tidak perlu diadakan.

"Saya mohon kerjasama semua pihak – parti-parti politik serta calon bebas agar memberi laluan kepada penyandang/calon Umno/BN untuk menang tanpa bertanding pada PRK Chini.

"Dengan ini dapat mengelakkan pergerakan serta aktiviti menjelang dan semasa PRK tersebut, yang dibimbangi boleh menyumbang kepada penularan wabak pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara dan dunia sekarang," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Hari penamaan calon untuk PRK Chini sebelum ini ditetapkan pada 20 Jun sementara hari pengundian ditetapkan pada 4 Julai.

Dalam kenyataan sama, Wan Rosdy turut menyorot bahawa ia selari dengan pandangan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang berkata, sekarang bukan masa sesuai mengadakan pilihan raya.

"Mahathir mungkin lebih menjurus kepada pilihan raya umum tetapi seharusnya turut meliputi PRK seperti PRK Chini kerana kedua-duanya turut melibatkan pergerakan orang ramai, yang boleh mengancam kesihatan awam menerusi jangkitan wabak pandemik ini," katanya.

Selain itu, tambah Wan Rosdy, dengan memberi laluan kepada calon BN untuk menang tanpa bertanding, ia dapat menjimatkan kira-kira RM4.3 juta dana Suruhanjaya Pilihan Raya.

Awal hari ini, PKR mengumumkan bahawa mereka tidak akan meletakkan calon susulan masalah Covid-19 belum ditangani sepenuhnya.

Wan Rosdy berkata, saranan itu bukan kerana BN bersikap riak tetapi sekadar menyatakan realiti semasa.

"Oleh itu, lebih munasabah dan praktikal jika parti-parti lain termasuk calon bebas atau mana-mana calon tajaan, supaya tidak bertanding.

"Saranan ini mungkin dilihat tidak demokratik tetapi inilah penyelesaian terbaik dalam pada negara dan negeri ini masih dibelenggu dengan penularan wabak pandemik Covid-19 yang menggerunkan," katanya.

DUN Chini yang terletak dalam parlimen Pekan yang diwakili bekas perdana menteri Najib Razak dilihat sebagai kubu kuat BN.

Pada PRU lalu, Umno memperoleh 10,027 undi di Chini sementara PAS mendapat 5,405 undi. Calon PKR yang mewakili PH menduduki tempat terakhir dengan 1,065 undi.

Gabungan undi diraih Umno dan PAS mewakili 93.5 peratus undi kawasan itu.