Skip to main
Logo Malaysiakini

MTUC: Penjana tumpu majikan tapi belum tentu membantu pekerja

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyatakan kebimbangan mereka mengenai pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

Setiausaha agungnya J Solomon berkata hal itu kerana pakej ransangan tersebut dilihat hanya sarat dengan bantuan kepada syarikat dan bukan pekerja.

"Kebimbangan MTUC sama dengan pakej ransangan yang diumumkan sebelum ini, bahawa Penjana tidak akan menepati janji-janjinya untuk memastikan pekerja dilindungi, terutama ribuan yang telah diberhentikan walaupun majikan mendapat faedah besar daripada bantuan kerajaan seperti pinjaman yuran, geran langsung dan subsidi upah.

"Kami juga maklum bahawa Penjana akan melibatkan pengeluaran tambahan sebanyak RM5 bilion dari dana Perkeso untuk memberi subsidi upah kepada majikan.

"Tambahan pula Perkeso sekarang perlu menyediakan subsidi kepada majikan yang merekrut pekerja menganggur dan membayar sehingga RM4,000 kepada mereka yang menjalani latihan pekerjaan.

"Tidak perlu dikatakan, semua ini akan memberi impak besar kepada Perkeso dan yang lebih penting lagi, turut memberi kesan jangka panjang dan pertengahan keupayaan untuk menyediakan jaring keselamatan sosial untuk pekerja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, menurut Solomon, kebimbangan terbesar MTUC ialah kurangnya ketelusan dalam Penjana yang diumumkan semalam.

Jelas Solomon, timbul persoalan bagaimana pelan kerajaan untuk memastikan syarikat yang mendapat faedah Penjana akan membantu pekerja dengan betul.

Suntikan fiskal daripada kerajaan

“Kerajaan juga tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai rancangannya, sekiranya ada, untuk memastikan majikan yang mendapat faedah daripada Penjana bertahan dan memastikan pekerja dikekalkan dan subsidi untuk pekerja diberikan kepada mereka, bukan ke tempat lain,” katanya.

Solomon berkata, kurang ketelusan itu turut dilihat dalam pakej rangsangan Prihatin bernilai RM250 bilion sebelum ini dan ia berlaku walaupun diberi tekanan oleh masyarakat umum.

“Apa yang kita tahu, kadar pengangguran kini mencecah kepada ribuan, dan dijangka akan mencecah dua juta pada masa akan datang, walaupun banyak bantuan diberikan,” katanya.

Putrajaya semalam mengumumkan pakej rangsangan bernilai RM35 bilion untuk memulihkan ekonomi berikutan impak Covid-19 dan kesan daripada penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk mengekang wabak itu.

Muhyiddin berkata, Penjana terdiri daripada tiga teras utama yang memfokuskan kepada memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.

Menurut beliau RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung daripada kerajaan.

Pakej terbaru itu menyusul selepas tiga pakej rangsangan bernilai RM260 bilion diumumkan bagi mengurangkan kesan wabak itu terhadap ekonomi.

Kata Solomon, permintaan MTUC agar menteri kewangan dan Bank Negara menerbitkan senarai penerima bantuan dibuat berkali-kali demi ketelusan namun diabaikan kerajaan.

"Apa yang diketahui oleh rakyat dan MTUC ialah di sebalik semua pemberian bantuan kepada komuniti perniagaan, ribuan pekerja akan hilang pekerjaan dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) juga telah memberi amaran bahawa lebih daripada dua juta pekerja akan menganggur dalam beberapa minggu mendatang.

"Walaupun berbilion-bilion dana disalurkan untuk membantu perniagaan, Malaysia tetap akan menuju kemelesetan dalam tempoh empat hingga enam bulan ke depan, menurut Jabatan Statistik," katanya.

Selain itu, Solomon berkata walaupun Muhyiddin telah menyatakan lebih daripada 83 peratus tenaga kerja - atau hampir 13 juta pekerja - telah kembali bekerja, namun dapatan Jobstreet mengatakan bahawa satu dari setiap lima orang rakyat Malaysia telah kehilangan pekerjaan mereka sejak Covid -19 melanda.

Solomon juga mendakwa kebanyakan pekerja yang hilang pekerjaan hari ini disebabkan oleh sikap tidak bertanggunjawab majikan, walaupun sebilangan mereka adalah syarikat blue-chip dan konglomerat antarabangsa.

"Kecuali ada usaha bersama untuk bertindak ke atas majikan ini, mereka hanya akan terus mengantung bantuan kewangan dari pakej Prihatin dan Penjana sambil memecat pekerja di setiap kesempatan," kata Solomon.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.