Skip to main
Logo Malaysiakini

MEF: Jenamakan semula sektor 3D untuk tarik minat pekerja tempatan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan dan majikan perlu penjenamaan semula kerja-kerja 3D (kotor, bahaya, sukar) supaya dapat menarik warga tempatan menceburi sektor tersebut tanpa  bergantung kepada pekerja asing, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan, berkata, perkara ini boleh dilakukan dengan kerajaan melalui Kementerian Sumber manusia mengiktiraf kemahiran pekerja melalui pensijilan, manakala majikan melabur dalam teknologi dan alat kejenteraan.

“Sebenarnya, kos untuk ambil pekerja asing tu bukanlah murah. Cuma majikan menghadapi masalah bila kita menoleh (memberi peluang) kepada pekerja tempatan, mereka tak tahan dengan pekerjaan yang dipanggil 3D.

“Sebab itu kita masih gunakan pekerja asing.

“Jadi saya rasa ada keperluan penjenamaan semula kerja-kerja 3D ni supaya dapat menarik pekerja tempatan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau menjelaskan, majikan perlu melabur dalam teknologi dan kejenteraan memandangkan beberapa skop pekerjaan dalam sesetengah sektor memerlukan tenaga dan masa yang kebanyakan warga tempatan tidak bertahan untuk melakukannya.

“Ada keperluan pihak Kementerian Sumber Manusia untuk mensijilkan kemahiran mereka.

“Jadi bila kemahiran itu disijilkan, setiap kerja yang mereka lakukan itu akan dikira sebagai pekerjaan yang dianggap sebagai satu profesion,” kata Shamsuddin (gambar atas).

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, negara bakal menyaksikan perubahan besar dalam dasar pengambilan pekerja asing dan kawalan terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) pasca pandemik Covid-19, susulan warga asing yang dilihat sebagai antara kumpulan yang menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19

Mengulas mengenai perkara itu, Shamsuddin berkata tahap kebergantungan kepada pekerja asing dapat dikurangkan tetapi secara berperingkat, berdasarkan sektor industri yang terlibat, di samping majikan diberikan masa untuk menyesuaikan diri dengan kehendak baru ini.

Beliau turut memberi contoh beberapa sektor yang tidak mendapat minat pekerja tempatan seperti pembinaan, perladangan dan pertanian.

“Jadi yang penting di sini ialah kita buat langkah-langkah tertentu terutamanya dengan menjenamakan semula kerja-kerja yang ada sekarang, yang kini dibuat oleh pekerja asing, supaya ia lebih menarik dan juga dapat menarik minat pekerja tempatan, sebagai contoh di Pasar Borong Selayang dan Pasar Jalan Othman.

“Memang agak sukar majikan dapatkan pekerja tempatan, walaupun mereka dibayar gaji sekali ganda naiknya. Tetapi ketahanan pekerja tempatan tu agak kurang. Ada yang bekerja tiga hingga empat jam, dia lari,” katanya.

Katanya, masalah-masalah seperti itu antara yang perlu ditangani oleh majikan supaya produktiviti bekerja tidak menurun meskipun tidak menggunakan pekerja asing.

KKM juga perlu main peranan

Beliau turut mengulas mengenai saranan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini bahawa majikan seharusnya memainkan peranan yang lebih besar dalam memastikan pekerja warga asing mematuhi SOP.

KKM sebelum ini turut menyarankan supaya majikan menyediakan tempat tinggal dan bersih untuk pekerja warga asing supaya mereka dapat mengamalkan penjarakan sosial.

Shamsuddin turut bersetuju dengan saranan tersebut dan mencadangkan supaya rumah-rumah kabin yang lebih banyak untuk mereka supaya penjarakan sosial dapat diamalkan.

Bagaimanapun katanya, KKM juga perlu memberikan penerangan tentang penjagaan kebersihan kepada mereka.

“Perkara ini di kalangan pekerja asing itu mereka tak punyai hygienic lifestyle (kehidupan yang amalkan kebersihan).

“Macam mana kita cakap (nasihatkan) pun, sebagai majikan, mereka takkan dengar kepada kita.

“Jadi di sini, saya rasa ada keperluan pihak berkuasa terutamanya KKM datang dan berikan penerangan kepada pekerja asing ini tentang pentingnya untuk kita berada dalam keadaan lifestyle yang hygienic,” katanya.