Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr M: Pukau guna big data, pencuri boleh jadi hero pujaan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Di zaman informasi ini maklumat boleh diputar sehingga yang buruk menjadi baik dan sebaliknya. Kebanyakan kita belum faham kegunaan big data – atau maklumat yang amat luas dan terperinci.

Tetapi sudah ada perusahaan besar dalam bidang ini. Di antaranya ialah Cambridge Analytica yang memberi khidmat analisa maklumat untuk tujuan tertentu.

Melalui pengumpulan data yang menyeluruh berkenaan individu dalam sesuatu masyarakat, maka pihak pakar analisa boleh kenal pasti sifat berkenaan apa yang disukai dan tidak disukai oleh individu berkenaan dan seterusnya oleh masyarakat. 

Dengan pengetahuan ini cara mempengaruhi fikiran majoriti anggota boleh ditentukan. Maklumat ini berguna umpamanya untuk mempromosi barang jualan oleh pengusaha dan peniaga. 

Demikianlah jayanya proses ini sehingga pelanggan membeli sesuatu yang tidak dikehendaki olehnya, semata-mata kerana dipengaruhi oleh iklan yang faham sifat pembeli.

Big data ini juga berguna dalam bidang politik. Analisa big data oleh pakar akan kenal pasti apa yang boleh menguasai pemikiran pengundi umpamanya. Dengan pengetahuan ini maka kempen boleh diadakan supaya pengundi terpikat dan menyokong.

Gambar hiasan: CEO firma kontroversi Cambridge Analytica, Alexander Nix menunjukkan kuasa big data dalam pilihan raya di dunia.

Pada masa lampau ini kita sering lihat calon yang buruk mendapat sokongan dan kemenangan. Kempen yang diasaskan kepada kajian big data boleh menjadikan seorang penyangak dimuliakan dan disokong. 

Orang ramai boleh lupakan keburukan seseorang dan menjadinya hero yang didewa-dewakan.

Orang Melayu dahulu bercakap dengan “pukau”. Apabila kita dapati seseorang itu melakukan sesuatu yang bukan normal tanpa segan silu kerana terpengaruh oleh kuasa yang tidak dikenali, maka kita anggap ia telah kena pukau.

Di zaman ini “pukau” dilakukan dengan mengetahui sifat-sifat yang ada pada seseorang atau sesuatu kumpulan sehingga mereka melaku perbuatan yang luar biasa.

Pukau moden ini berasas kepada sains dan psikologi. Maklumat terperinci dan menyeluruh (big data) berkenaan seseorang atau sesuatu kumpulan boleh didapati dari segala kegemaran memakan, membeli-belah, jenis hiburan, sukan, pelancongan dan lain-lain.

Data yang didapati boleh dianalisa dengan komputer dan peribadi ditentukan. Dari data ini, strategi boleh dibentuk untuk mencapai matlamat.

Kos oleh pakar analisa tetap tinggi. Hanya mereka yang kaya raya sahaja yang boleh upah.

Tetapi bagi mereka yang berkepentingan dan berduit, mendapat khidmat pakar analisa big data tetap berbaloi. Fikirkanlah melalui cara ini pencuri boleh jadi hero yang didewa-dewakan.


DR MAHATHIR MOHAMAD ialah bekas perdana menteri dan MP Langkawi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.