Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu George Floyd: Peringatan pada rakyat M'sia tentang perkauman - Suhakam

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Di tengah-tengah bantahan meluas di seluruh Amerika Syarikat susulan kematian lelaki Afrika Amerika berusia 46 tahun, George Floyd ketika ditangkap polis, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata kejadian itu menjadi peringatan kepada rakyat Malaysia.

"Suhakam ingin menyatakan solidariti kepada rakyat Amerika Syarikat dalam masa yang sukar ini dan mengambil peluang untuk mengingatkan rakyat Malaysia bahawa isu yang berakar umbi perkauman, diskriminasi perkauman dalam bentuk yang tidak begitu ketara serta sikap kurang toleransi juga wujud di Malaysia.

"Insiden yang berlaku baru-baru ini termasuk peningkatan ucapan kebencian dan stereotaip perkauman, isu perkauman yang dipolitikkan untuk agenda peribadi termasuk serangan terhadap pelarian dan pekerja asing di media sosial serta petisyen mendesak penghantaran mereka pulang," katanya pada suatu kenyataan hari ini.

Sentimen antipendatang asing memburuk berikutan siri jangkitan Covid-19. Menurut Kementerian Kesihatan jangkitan itu sebahagiannya berpunca daripada keadaan hidup di tempat tinggal mereka atau asrama pekerja yang disediakan majikan.

"Daripada membahaskan wujud atau tidak isu perkauman di Malaysia, adalah lebih baik kita bersama dalam usaha memperbetulkan isu diskriminasi perkauman yang berlaku secara sistematik kian berabad lamanya.

"Suhakam menyeru setiap orang untuk bangkit menentang sikap perkauman dan kurang toleransi kerana secara prinsipnya, perkauman adalah salah dari segi moral. Dalam sesebuah masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia, kita harus menerapkan sikap tidak memandang seseorang dari segi agama, bangsa, keturunan atau tempat lahir mereka," kata suruhanjaya itu.

Menurut Suhakam lagi, isu perkauman, xenofobia dan sikap kurang toleransi mencetus kebencian dan ketidakpercayaan yang menjadi halangan untuk memahami keadaan sebenar mereka yang menjadi mangsa.

"Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat mengisytiharkan bahawa setiap manusia dilahirkan bebas dan sama rata dari segi kemuliaan & hak-hak dan setiap orang adalah berhak kepada semua hak-hak dan kebebasan yang termaktub dalam Perisytiharan ini tanpa sebarang perbezaan seperti bangsa, warna kulit atau asal-usul bangsa keturunan," kata Suhakam.

Dalam kejadian di Minneapolis, Minnesota pada 25 Mei lalu, Floyd meninggal dunia selepas pegawai polis Derek Chauvin menekan lututnya di leher mangsa selama hampir sembilan minit sehingga mangsa sukar bernafas.

Rayuannya berkenaan kesukaran itu juga didakwa tidak diendahkan anggota polis tersebut.

Dia ditahan kerana didakwa cuba menggunakan wang kertas palsu AS$20 untuk membeli rokok di sebuah kedai.

Kematian Floyd menimbulkan kemarahan rakyat AS, terutama apabila rakaman video insiden itu tular di Facebook, mencetuskan protes besar-besaran sejumlah bandar di sana.

Ia turut mendapat perhatian dunia dengan gerakan Black Lives Matter (BLM) kembali hangat di media sosial, bagi menuntut keadilan sosial terhadap warga kulit hitam dan melawan keganasan serta perkauman terhadap komuniti itu.

Chauvin yang dipecat selepas kejadian itu, kini berdepan tuduhan membunuh tahap kedua, manakala tiga lagi pegawai polis dituduh bersubahat.