Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis Petaling Jaya tahan 7 pemandu mabuk

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis menahan tujuh lelaki berumur 28 hingga 51 tahun kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Ops Alkohol dan pencegahan jenayah di Petaling Jaya sepanjang lewat malam tadi hingga awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata mereka ditahan selepas polis memeriksa 360 kenderaan, melibatkan 375 orang pengguna jalan raya dalam Ops berkenaan.

“Sebanyak 22 saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan dalam Ops berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 45(A)1, Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu di TELUK INTAN, Perak, polis menahan lima lelaki yang didapati menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol dalam Ops Mabuk di sekitar bandar itu semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata semua mereka yang berumur 51 hingga 61 tahun itu ditahan dalam operasi antara pukul 8.10 malam sehingga 9.00 malam.

"Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak untuk tindakan lanjut dan sampel darah turut diambil bagi tujuan analisis kandungan alkohol oleh pihak Jabatan Kimia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat dibawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk.

-Bernama