Skip to main
Logo Malaysiakini

Cuepacs rayu k'jaan ambil semula pekerja kontrak ditamat khidmat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan digesa menyambung semula perkhidmatan kesemua 603 orang pekerja kontrak di agensi-agensi kerajaan, kata Presiden Cuepacs Adnan Mat.

Kerajaan digesa menyambung semula perkhidmatan kesemua 603 orang pekerja kontrak di agensi-agensi kerajaan yang telah tamat dan akan tamat tempoh kontrak.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata difahamkan daripada jumlah itu, 265 orang telah tamat kontrak perkhidmatan, manakala 338 orang lagi akan tamat dalam tempoh masa terdekat.

Beliau berkata Cuepacs menerima banyak aduan daripada pekerja kontrak di agensi-agensi kerajaan yang memaklumkan kebimbangan kontrak mereka tidak akan disambung walaupun mereka menunjukkan mutu kerja yang baik.

"Sehubungan itu, Cuepacs merayu kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya kesemua pekerja kontrak terutamanya yang telah ditamatkan perkhidmatan mereka sebelum ini, diambil semula bekerja, manakala mereka yang kontraknya akan tamat disambung semula," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Adnan berkata pekerja kontrak juga adalah penjawat awam dan rata-rata mereka ada yang telah berkhidmat lima hingga sepuluh tahun, dan sepanjang perkhidmatan pelbagai peranan serta jasa telah dicurahkan untuk agensi tertentu, maka tidak salah jika kontrak mereka disambung lagi.

Beliau berkata pekerja-pekerja kontrak yang terlibat tidak perlu dibuang tetapi penggunaan sumber manusia perlu disusun atau dinilai semula dengan menempatkan mereka-mereka itu di kementerian atau agensi yang kritikal.

Katanya, usaha itu bukan sahaja dapat mengurangkan kadar pengangguran, malah membolehkan kementerian dan agensi yang kritikal dapat berfungsi dengan lebih baik bagi membantu kerajaan menjayakan pakej-pakej rangsangan menjana semula ekonomi negara.

"Apatah lagi negara ketika ini telah memasuki tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), maka wajarlah kontrak mereka disambung semula bagi membantu kerajaan memberikan mutu perkhidmatan yang baik kepada rakyat serta melaksanakan pelan pemulihan ekonomi negara

"Cuepacs berharap kerajaan tidak menjadikan pekerja kontrak sebagai mangsa selepas ramai kehilangan pekerjaan dalam tempoh PKP sebelum ini... belalah nasib mereka," katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.