Skip to main
Logo Malaysiakini

Kalangan di pusat kuarantin boleh sambung di rumah mulai 10 Jun

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kalangan yang sedang menjalani kuarantin 14 hari di kemudahan kerajaan dibenarkan pulang ke rumah bermula Jun 10 untuk meneruskan kuarantin mereka, bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Ia susulan pengumumannya semalam bahawa rakyat dibenarkan melaksanakan perintah kuarantin di rumah bermula tarikh itu, dengan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Ismail berkata, mereka dibenarkan menjalani bagi kari kuarantin di rumah, sebaik saja prosedur operasi standard (SOP) bagi PKPP berkuat kuasa.

PKPP yang merupakan fasa pemulihan bagi perintah kawalan pergerakan diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

“Pada 10 Jun, mereka tak perlu lagi dikuarantin di hotel misalnya.

“Mereka boleh pulang ke rumah masing-masing apabila mereka memuat-turun aplikasi MySejahtera.

“Kenapa tak hari ini? sebab SOP baru berkuat kuasa 10 Jun,” katanya lagi.

Semalam, Ismail menjelaskan mereka yang diarahkan menjalani kuarantin perlu memakai gelang tangan (wristband) sepanjang tempoh tersebut.

“Walaupun mereka dibenarkan pulang ke rumah, mereka akan diawasi melalui aplikasi MySejahtera dan tidak dibenarkan keluar. Dengan gelang tangan tersebut, mereka akan dikenal pasti,” katanya lagi.

[Berita lanjut menyusul]