Skip to main
Logo Malaysiakini

'Macam kembali ke era BN' - MP diarah beri keterangan untuk kenyataan tahun lalu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Anggota Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis berhubung kenyataan yang dibuatnya tahun lepas berhubung isu tangkapan berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

"Tahun lepas saya beri komen di Malaysiakini berkenaan tangkapan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012) (Sosma) yang dikatakan melibatkan LTTE dan menjelaskan pandangan berkenaan peranan 'deep state' (daulah terpendam).

"Sekarang saya telah diarahkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pada hari Rabu untuk siasatan. Macam kembali ke era BN," katanya di Twitter hari ini.

Pada November tahun lalu, Sivarasa yang ketika itu menjadi timbalan menteri pembangunan luar bandar, mencadangkan bahawa "daulah terpendam" memainkan peranan dalam keputusan untuk mendakwa 12 individu atas kaitan dengan LTTE, kumpulan pemisah Sri Lanka yang tidak lagi aktif dan dikelaskan sebagai pengganas oleh kerajaan.

Beliau berkata ini kerana keputusan untuk melakukan pendakwaan dibuat ketika peguam negara berada di luar negara selama dua minggu.

Antara yang didakwa ialah dua Adun DAP, G Saminathan dan P Gunasekaran.

 Jumaat lalu, NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) turut menyuarakan kebimbangan bahawa kerajaan PN menggunakan taktik zaman BN.

"Berita mengenai aktivis dan ahli politik dikenakan tindakan melalui undang-undang menindas dan berdepan gangguan daripada agensi kerajaan adalah ciri khas rejim BN ketika mereka berkuasa sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu.

"Peningkatan semula kejadian tersebut akhir-akhir ini menunjukkan bahawa pentadbiran PN tidak berbeza dan sedia menyalahgunakan kewibawaan serta institusi negara ke atas aktivis dan penentang politik yang sah," kata Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan PH tumbang akhir Februari lalu selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa parti itu keluar daripada gabungan tersebut.

Muhyiddin kemudian bekerjasama dengan bekas anggota Parlimen PKR BN, PAS, GPS, PBS dan Star, untuk menubuhkan kerajaan PN.