Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: 7 kes baru, terendah dalam tempoh 3 bulan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan hari ini memaklumkan tujuh kes baru Covid-19 yang dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari tadi, yang merupakan angka terendah bagi tempoh tiga bulan.

Ini juga kali pertama negara merekodkan kes baru sebanyak satu angka sahaja sejak 12 Mac lalu, iaitu sebelum pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) enam hari kemudian.

Negara merekodkan enam kes baru Covid-19 pada 8 Mac dan sembilan kes baru pada 12 Mac.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, daripada tujuh kes baru itu, dua adalah kes import manakala lima kes penularan tempatan melibatkan warga Malaysia.

Berkenaan lima kes melibatkan warga tempatan, Noor Hisham memaklumkan dua kes melibatkan kontak rapat kepada pesakit ke-8,294 di Sepang, Selangor.

Tiga lagi kes, katanya lagi, masing-masing dikesan di pusat tahanan Imigresen Bukit Jalil Kuala Lumpur, saringan pra-pembedahan di  Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas, dan saringan komuniti di Kota Kinabalu, juga di Sabah.

Sejumlah 10,268 ujian Covid-19 dilaksanakan semalam. Pada masa ini, makmal kerajaan dan swasta boleh melakukan membuat 34,951 ujian swab sehari.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan seramai 20 pesakit telah sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah hari ini, menjadikan jumlah ke sembuh setakat ini ialah 6,694 kes iaitu 80.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Jumlah keseluruhan kes pula ialah 8,329 kes, dengan 1,518 daripadanya ialah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.

Setakat ini, seramai enam pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan seorang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah korban kekal 117 orang, iaitu 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Waspada peningkatan kes denggi

Di saat penularan Covid-19 didapati menurun, Noor Hisham memberi peringatan berkenaan kes denggi yang dijangka meningkat bermula bulan ini sehingga September, berdasarkan trend kes selama lima tahun.

Beliau berkata, jumlah kes denggi untuk bulan pertama 2020 mencatatkan penurunan, iaitu dengan 48,584 kes berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 54, 524 kes, akan tetapi jumlah kematian meningkat kepada 84 daripada 83 kes untuk tempoh itu.

Siasatan awal mendapati 11 peratus daripada 84 kes kematian itu lewat mendapatkan rawatan iaitu tiga hari setelah gejala bermula, katanya.

"Namun sejak enam minggu lepas didapati kes demam denggi mulai menunjukkan tren peningkatan secara berterusan, dengan purata peningkatan sebanyak lapan peratus setiap minggu," katanya lagi.

Katanya, dengan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), lebih banyak sektor dan perniagaan akan dibuka dan tempat yang sudah lama ditutup dan tiada pergerakan orang ramai berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

"Orang ramai diseru mempertingkatkan tahap kebersihan di kawasan masing-masing, terutama di mana takungan air dan tempat-tempat yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk.

"Usaha membanteras nyamuk Aedes dan demam denggi adalah tanggungjawab kita semua, sepertimana juga masyarakat telah berganding bahu bagi memutuskan penularan jangkitan Covid-19," katanya lagi.

Justeru, beliau menyarankan beberapa tindakan pencegahan seperti memastikan pembersihan di dalam dan luar premis dilakukan setiap minggu, semburan aerosol pada hari pertama premis atau ruang bilik yang lama tidak beroperasi dibuka semula, dan kegiatan larvaising (bahan membunuh jentik-jentik) di tempat yang menakung air.

"Jika mengalami gejala demam denggi, segera dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran. Penguatkuasaan PKPB atau PKPP tidak sepatutnya menjadi halangan untuk mendapatkan rawatan awal," katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.