Skip to main
Logo Malaysiakini

KP Kesihatan: Sempadan negara boleh dibuka semula jika...

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya akan mencadangkan agar sempadan negara dibuka semula jika kes Covid-19 terkawal semasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

"Kalau kita boleh buka sektor dalam negara, sektor sosial, sektor ekonomi, dan kita boleh kawal penularan Covid, maka mungkin kita boleh pertimbangkan kelonggaran dari segi kawalan persempadanan antarabangsa.

"Kita kena lihat konsep green bubble - kalau negara tersebut mempunyai rekod baik dan juga zon hijau, mungkin kita akan pertimbangkan," kata Dr Noor Hisham dalam sidang media hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham terdapat banyak kriteria yang mesti dipenuhi oleh negara-negara terlibat.

Tambahnya, perbincangan mendalam juga perlu dilakukan berhubung prosedur operasi standard (SOP) antara Malaysia dan negara-negara berkenaan.

"Kalau kita boleh setuju dengan SOP tersebut, contohnya bila masa kita perlu ambil ujian, sama ada ujian boleh dilaksanakan di negara asal dan sebagainya. 

"Jadi banyak perkara yang kita kena lihat dan bincang dulu, baru kita boleh ketengahkan konsep ni iaitu konsep green bubble iaitu dua negara macam kita merentas negeri," jelasnya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan PKPK yang  bermula pada 10 Jun, setelah berakhirnya perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Di bawah PKPP,  banyak sektor termasuk sektor sosial dan sukan dibenarkan dibuka semula di bawah SOP dan garis panduan yang ketat.

Perjalanan rentas negeri juga dibenarkan kecuali di kawasan yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD).

Bagaimanapun, sempadan antarabangsa negara masih ditutup.