Skip to main
Logo Malaysiakini

700,000 daftar aplikasi MySejahtera dalam seminit

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Aplikasi MySejahtera menerima sekitar 700,000 pendaftaran dalam satu minit selepas kerajaan mengumumkan bahawa ia merupakan prasyarat untuk menebus kredit e-dompet sebanyak RM50 di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), kata Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

"Susulan pengumuman kerajaan berkenaan RM50 e-dompet pengguna, setelah mereka memuat turun aplikasi MySejahtera, didapati pendaftaran adalah sesak

"Kita mendapati 700,000 pendaftaran serentak dalam masa yang singkat iaitu satu minit.

"Jadi kita nasihatkan mereka yang ingin muat turun aplikasi tersebut, mungkin kita adakan penjarakan juga (dalam memuat turun aplikasi). 

"Jadi kalau kita boleh mengamalkan penjarakan, jadi tak ada kesesakan kat situ," kata Noor Hisham dalam sidang medianya hari ini.

Katanya, kementerian sedang meneliti bagaimana masalah ini dapat diatasi bagi memastikan semua individu dapat mendaftar di aplikasi MySejahtera secepat mungkin.

Dalam perkembangan berasingan, Noor Hisham berkata beliau akan bertemu dengan Kementerian Pendidikan esok bagi membincangkan bilakah sekolah akan dibuka semula di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKKP).

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Penjana baru-baru ini berkata sekolah akan dibenarkan dibuka semula secara berperingkat tetapi perinciannya akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan.

Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan panduan dan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah tetapi tidak menyatakan bilakah ia akan dibuka semula.

Noor Hisham berkata, KKM mungkin hanya membenarkan pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam kembali ke sekolah terlebih dahulu.

Apa pun, katanya, ibu bapa akan diberi masa selama dua minggu untuk melakukan persiapan sekiranya sekolah dibuka semula.