Skip to main
Logo Malaysiakini

'DAP dan PH yang sebenarnya munafik'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pemuda Umno Kelantan membidas Ketua Pemuda DAP, Howard Lee selepas tindakannya melabelkan ketua pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki sebagai 'munafik politik'.

Kenyataan Lee itu dibuat setelah Asyraf meminta gencatan politik di antara parti-parti politik untuk mempersiapkan negara menghadapi kegawatan ekonomi di masa depan.

"Sudah terang lagi jelas bahawa DAP dan Pakatan Harapanlah yang sebenarnya munafik.

"Akibat perbalahan merebut kuasa Perdana Menteri di antara Anwar dan Mahathir, pentadbiran negara telah runtuh dengan sendirinya tanpa ada tekanan daripada mana-mana pihak," kata ketuanya Noor Hariri Mohamed Noor.

Noor Hariri mendakwa rakyat menjadi mangsa dengan ketidaktentuan politik dan halatuju ekonomi negara, ditambah dengan kegagalan kerajaan PH sebelum ini mengekang penularan wabak Covid19.

"Mujurlah aturan takdir Allah SWT telah menggerakkan hati pimpinan gabungan parti Perikatan Nasional untuk bersama menyelamatkan negara ini dari komplot politik jahat yang didalangi oleh DAP ini.

"Kerajaan PN hari ini jauh lebih baik dan berkebajikan daripada kerajaan Munafik PH yang penuh pembohongan dan Kakistokrasi," katanya.

Beliau turut berkata kenyataan pemimpin DAP itu "tidak ubah seperti seekor Khinzir yang merasakan dirinya halal tetapi menuduh Kuda yang haram".

Sabtu lalu, Asyraf meminta parti-parti politik melakukan gencatan politik untuk mempersiapkan negara menghadapi kegawatan ekonomi pada masa depan.

Gesaan itu dibuat ketika timbul spekulasi mengenai cubaan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menguasai kembali kerajaan dan langkah politik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menghalang usaha tersebut.

“Penggemblengan usaha ke arah membela nasib rakyat yang kian resah dan susah harus menjadi keutamaan ketika ini berbanding perkiraan untung rugi politik jangka pendek dan perebutan kuasa berterusan yang hanya akan memudaratkan rakyat dan negara jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Susulan itu, Lee menyifatkan kenyataan Asyraf itu sebagai 'kemunafikan politik' dan memintanya supaya bermuhasabah diri.

"Jika jujur inginkan gencatan senjata, mudah sahaja - kembalikan kuasa yang kamu rampas agar mandat rakyat pada PRU ke-14 dapat diteruskan oleh Pakatan Harapan.

"Dengan itu, saya harap Ketua Pemuda Umno ( Asyraf Wajdi Dusuki) segera muhasabah diri dengan sikap munafik politiknya," kata Lee