Skip to main
Logo Malaysiakini

Negeri perlu dibenarkan ada SOP sendiri untuk cegah Covid-19 - Ramasamy

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang (II), P Ramasamy meminta kerajaan persekutuan membenarkan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan merancang prosedur operasi standard (SOP) sendiri untuk menghalang wabak Covid-19.

"Kerajaan pusat atau persekutuan tidak boleh memaksa polisi ke atas kerajaan negeri dan kerajaan tempatan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata ia bagi memastikan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dapat bertindak lebih efektif dalam meratakan lengkungan penularan wabak Covid-19.

"Membendung penyebaran pandemik Covid-19 mestilah diamalkan secara hubungan yang demokratik, rundingan dan perbincangan antara berbagai tahap pentadbiran.

"Tidak seperti keadaan lain yang memerlukan pendekatan atas ke bawah, meratakan lengkungan Covid adalah berbeza," katanya.

Beliau berkata meskipun kerajaan persekutuan boleh mengeluarkan garis panduan, namun ia mesti dilaksanakan secara rundingan dan melalui perkongsian maklumat.

"(Untuk) kerajaan negeri dan kerajaan tempatan efektif (mereka) harus mengeluarkan SOP mereka sendiri untuk membendung penyebaran virus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru Ramasamy berkata adalah "tidak matang" apabila menteri kanan, Ismail Sabri Yaakob meminta kerajaan negeri mematuhi peraturan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang ditetapkan kerajaan persekutuan dan akan berkuat kuasa pada 10 Jun.

"Ini kekanak-kanakan atau tidak matang kerana kerajaan Pulau Pinang tidak menolak untuk mematuhi PKP pemulihan tetapi hanya menyatakan bahawa pelaksanaan PKPP akan dibantu dengan penyediaan SOP baru," katanya.

Beliau merujuk kenyataan Ismail yang meminta kerajaan Pulau Pinang dan negeri-negeri lain mengikut peraturan di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi PKPP.

Ini sebagai respons terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang mengatakan kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat majlis keselamatan negeri untuk mengkaji keputusan pelaksanaan PKPP.

"Negeri tak boleh buat peraturan lain kerana mana-mana akta peraturan negeri yang bertentangan dengan federal akan terbatal dengan sendiri, jadi tak ada pilihan. Negeri perlu akur dengan Akta PKPP ini," katanya.

Sebagai rekod, Chow dalam kenyataan lain pada hari yang sama (7 Jun), mengatakan kerajaan negeri akan melaksanakan PKPP dan strategi itu sejajar dengan usaha mencapai keseimbangan antara kesihatan orang ramai dan mata pencarian mereka. 

[Baca berita asal]