Skip to main
Logo Malaysiakini

MP: Bukan pihak surau pasang sepanduk anti-Rohingya

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sebuah surau di Kampung Plentong Baru di Johor Bahru dinasihatkan untuk menurunkan sepanduk yang dipasang di luar premis tersebut, maklum Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim.

Gambar sepanduk itu menjadi tular semalam dan Hassan memberitahu Malaysiakini hari ini beliau telah membuat saranan tersebut selepas bertanya kepada pemimpin tempatan.

"Menurut ketua kampung sepanduk itu bukan dipasang oleh Jawatankuasa Surau Kampung Plentong Baru.

"Saya telah nasihatkan kepada ketua kampung tersebut supaya minta jawatan kuasa surau turunkan sepanduk berkenaan," kata Hassan.

Gambar tular itu memaparkan sepanduk di luar surau bertulis: "We are not welcoming Rohingya to Kg Plentong Baru" "Kami tak perlukan anda di sini"

Ketika dihubungi, ketua Kg Plentong Baru, Mohamad Nor Ali berkata beliau mengambil maklum mengenai perkara itu dan penjelasan lanjut akan dikeluarkan atasannya, penghulu mukim Plentong.

Gambar tular itu dikongsi susulan keputusan Putrajaya bahawa hanya rakyat Malaysia yang dibenarkan menghadiri solat berjemaah dan Jumaat di masjid setelah peraturan pencegahan Covid-19 dilonggarkan mulai 10 Jun.

Pada fasa awal perintah kawalan pergerakan, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata polis sedang menyiasat lonjakan sentimen negatif secara tiba-tiba yang ditujukan kepada masyarakat Rohingya di Malaysia.

Ismail pada 27 April lalu mengakui beliau hairan mengapa isu kedatangan Rohingya itu tiba-tiba dibangkitkan, sedangkan kedatangan mereka sebelum ini telah mendapat simpati dari Malaysia ekoran pelbagai musibah yang ditimpa mereka seperti dibakar hidup-hidup dan dibunuh dengan kejam.

Walaupun berita mutakhir melaporkan tindakan keras terhadap pendatang asing dan pelarian tanpa dokumen, ratusan orang Rohingya masih terus mempertaruhkan nyawa mereka untuk sampai ke perairan Malaysia.

Semalam, sebuah bot yang membawa seramai 269 pelarian Rohingya ditahan ketika cuba memasuki perairan Langkawi.

"Atas dasar kemanusiaan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membenarkan bot berkenaan ditunda ke Jeti Teluk Ewa Langkawi.

"Kesemua 269 orang Pati (pendatang asing tanpa izin) kini ditahan dan diletakkan sementara di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi," kata Pasukan Petugas Khas Nasional.


Laporan tambahan oleh Zikri Kamarulzaman