Skip to main
Logo Malaysiakini

Surau di pusat beli-belah, kawasan rehat lebuh raya dibuka semula

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Surau di semua pusat membeli-belah dan  di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya akan dibuka semula mulai esok, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Bercakap pada sidang akhbar hariannya, di Putrajaya, hari ini, Ismail Sabri berkata, ini memandangkan lebih ramai orang kini mengunjungi pusat membeli-belah dan perjalanan rentas negeri akan dibenarkan mulai esok.

"Bagi mereka yang ingin solat di surau-surau, perlulah mengamalkan disiplin diri dan jarakan sosial," katanya.

Ismail Sabri berkata, gerai makanan dan perniagaan lain yang terletak di kawasan rehat lebuh raya juga dibenarkan beroperasi semula esok.

“Gerai-gerai di kawasan R&R juga dibenarkan untuk beroperasi,” katanya sambil menambah pembukaan itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Sementara itu, katanya, mesyuarat khas juga bersetuju untuk membenarkan restoran, gerai-gerai makan, semua perniagaan menjual makanan, kedai-kedai serbaneka dan runcit, untuk beroperasi sehingga 12 malam.

Namun begitu beliau berkata, adalah ditegaskan bahawa jarakan sosial dan amalan kebersihan diri, perlu diamalkan sentiasa.

Beliau turut mengingatkan ahli perniagaan supaya mematuhi semua bentuk langkah pencegahan untuk membendung penularan Covid-19.

Ismail Sabri juga mengumumkan mulai esok, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak lagi akan membuat sekatan jalan raya bagi menghalang pergerakan rentas negeri.

Katanya, tumpuan polis selepas itu adalah terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di premis perniagaan termasuk pasar raya dan pasar malam.

"Hari ini adalah hari terakhir larangan rentas negeri kerana esok bermulalah kebenaran rentas negeri. Namun, untuk kes lain seperti Ops Benteng, memantau jenayah lain, akan tetap dilakukan PDRM seperti biasa," katanya.