Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kejayaan PH kini bergantung pada kesepakatan Mahathir, Anwar'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KATA MP | Sudah tiba masanya untuk saya terbitkan tulisan ini.

Saya yakin, semua orang tahu dan sedar tentang pergelutan dalaman Pakatan Harapan (PH) berkaitan janji peralihan kuasa. Ia telah menjadi bualan terbuka dan sekali gus merosakkan imej PH.

Kesannya besar. Ia mewujudkan defisit kepercayaan oleh rakyat kerana - percayalah - rakyat secara majoritinya mahu melihat pemimpin yang mengutamakan negara berbanding cita-cita peribadi.

Rakyat mahukan pemimpin yang terus fokus bekerja dan berkhidmat untuk negara dan rakyat. Itu sahaja.

Mahu tidak mahu, dua tokoh besar PH iaitu Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim perlu segera mencari cara untuk memperbaharui gandingan mantap mereka dengan melupakan segala kemelut masa lalu.

Kedua-dua tokoh ini tidak asing dalam landskap politik Malaysia. Kedua-duanya mempunyai kekuatan masing-masing. Sekarang, hayat PH sangat bergantung kepada kedua-dua tokoh ini.

Jika tidak, PH akan terus menjadi pembangkang sampai bila-bila.

Anwar mempunyai reputasi tersendiri kerana berjaya menggabungkan blok pakatan bukan BN sejak zaman Reformasi 1999 lagi.

Ambil alih kerajaan pusat

Bermula dengan Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 di bawah jenama Barisan Alternatif yang secara rasminya diketuai oleh Presiden PAS, Fadzil Noor, selaku Ketua Pembangkang, gabungan itu memenangi kerusi Pendang pada waktu itu.

Kemudiannya pada PRU 2004 di bawah jenama Barisan Alternatif juga yang secara rasminya diketuai oleh Abdul Hadi Awang, Presiden PAS selaku Ketua Pembangkang. Bagaimanapun beliau sendiri tewas di parlimen Marang.

Diikuti PRU 2008 di bawah jenama Pakatan Rakyat (Pakatan) yang secara rasminya diketuai oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Ketua Pembangkang, gabungan itu memenangi kerusi Permatang Pauh.

Diteruskan juga pada PRU 2013 yang diketuai Anwar sendiri yang memenangi kerusi yang sama, iaitu Permatang Pauh.

Namun pada PRU 2018, kita telah menyaksikan buat pertama kalinya blok pakatan bukan BN berjaya mengambil alih kerajaan.

Gambar fail

PH yang diketuai Mahahir bersama gabungan parti Amanah, Bersatu, DAP, PKR dan Warisan secara asasnya memenangi 122 kerusi di Dewan Rakyat. Ia terdiri terdiri daripada 98 kerusi di Semenanjung Malaysia, 14 di Sabah dan 10 di Sarawak.

Atas kapasiti peribadi Mahathir dan pengaruh Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal, lapan kerusi Warisan berjaya digabungkan bersama tiga DAP dan tiga PKR dari Sabah.

PH mendapat imbuhan lagi dua kerusi apabila dua ahli parlimen bebas dari Sarawak memilih untuk bergabung dengan PH, iaitu Jugah Muyang yang menang dalam pertembungan tiga penjuru di Lubuk Antu.

Jugah mengalahkan PKR, Larry Sang, dan pada masa sama menamatkan rekod calon BN di situ, Joseph Salang Gandung, yang memenangi kerusi tersebut selama 19 tahun tanpa kalah.

Undi meningkat kerusi tak bertambah

Yang jelas, walaupun tanpa lapan kerusi dari Warisan, kekuatan asas PH yang berada di tahap 114 tetap masih cukup untuk membentuk kerajaan.

Namun perlu diingat, penerimaan dan kesediaan Warisan untuk bersama PH adalah atas faktor Mahathir. Tanpa Mahathir, tidak ada jaminan bahawa lapan kerusi tersebut boleh dituntut sebagai kerusi PH.

Untuk 98 kerusi yang dimenangi oleh PH di Semenanjung pula, 13 daripadanya ialah sumbangan dari Bersatu.

Secara kesimpulannya, tanpa Mahathir dan Bersatu, kerusi yang dimenangi PH adalah 85. Dalam kata lain, kerusi Semenanjung yang menjadi kekuatan blok Anwar Ibrahim ialah 85.

Namun, mari kita nilai semula kekuatan kerusi Semenanjung pada 2008, 2013, 2018 dan 2020.

Untuk rekod, Pakatan memenangi 82 kerusi pada PRU 2008. Ia terdiri daripada 80 kerusi Semenanjung dan satu kerusi DAP dari Sabah dan Sarawak.

Dari segi undian yang diraih, jumlah undi popular untuk Pakatan di Semenanjung ialah 3.5 juta. Kekuatannya bersamaan dengan 50 peratus.

Untuk PRU 2013 pula, Pakatan meraih lonjakan tambahan 1.5 juta undi di Semenanjung, menjadikan jumlah undian ialah 5 juta yang bersamaan dengan 53 peratus.

Pakatan memenangi 89 kerusi, dengan sembilan daripadanya datang dari Sabah dan Sarawak.

Gambar fail

Kesimpulan yang boleh dibuat ialah, kerusi yang dimenangi di Semenanjung ialah 80. Jumlah kerusi ini lebih kurang sama tahap pencapaiannya dengan PRU 2008, walaupun dengan tambahan lonjakan undi 1.5 juta. Peningkatan jumlah undi itu tidak menyumbang kepada pertambahan kerusi.

Berbalik kepada 85 kerusi blok Anwar pada PRU ke-14. Perlu diingat, PKR menghadapi krisis perpecahan dalaman apabila tujuh ahli parlimen mereka keluar parti, Ia menjadikan kerusi dalam blok Anwar cuma di tahap 78.

Jumlah ini berada di bawah tahap 80 kerusi yang dicapai pada PRU 2008 dan PRU 2013.

Jumlah undi yang dibawa bersama 78 kerusi ini adalah sekitar 4 juta yang bersamaan dengan 38 peratus.

Jika dibanding dengan undi popular 53 peratus pada PRU 2013, tahap sokongan undi popular untuk blok itu merosot sebanyak 15 peratus.

Pecahkan angka psikologi

Kita perlu faham, dalam sistem politik ala Westminster di Malaysia, percaturan bilangan kerusi adalah kriteria utama. Untuk membentuk kerajaan, mana-mana pihak perlu melepasi nombor ajaib iaitu 122 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi.

Satu perkara yang sering dilupakan dalam congak politik Malaysia ialah percaturan blok kerusi Borneo (Sabah dan Sarawak) yang berjumlah 57 kesemuanya.

Mana-mana blok tidak akan mampu membentuk kerajaan tanpa kerusi dari Sabah dan Sarawak. Mana-mana blok yang dominan di Semenanjung secara automatik akan mempunyai kelebihan untuk berunding dengan blok Borneo.

Faktor utama kenapa BN belum pernah dikalahkan adalah kerana dominasi mereka di Semenanjung. Daripada 165 kerusi Semenanjung, ianya sentiasa didominasi oleh BN sehinggalah nasib sebaliknya menimpa mereka pada 2018.

Dari perspektif blok bukan BN, mereka perlu memecahkan angka psikologi 95. Ini adalah simbolik kepada nombor ajaib - tipping point - dari Semenanjung.

Berbekalkan 95 kerusi dan tambahan 17 kerusi dari Borneo, ia cukup untuk mereka melepasi nombor ajaib 112 itu.

Gambar fail

PRU 2018 menyaksikan perkara ini betul-betul berlaku. PH memenangi 98 kerusi semenanjung, sekali gus melepasi nombor ajaib 95 tadi. PKR dan DAP pula memenangi 16 kerusi dari Borneo.

Tanpa kerusi Warisan, blok PH sudah melepasi rintangan 112. Ditambah dengan sumbangan kerusi Warisan dan bebas, maka terjadilah satu fenomena yang disebut sebagai the perfect storm.

Persoalannya, adakah fenomena ini akan terus berulang pada PRU ke-15 nanti?

Harus diimbas kembali, kekuatan maksimum blok Anwar di Semenanjung ialah 80 dan kini berkurangan kepada 78 kerana mengambil kira blok Azmin Ali.

Yang pasti, untuk mengambil alih kerajaan pusat - dan menjadi perdana menteri - Anwar perlu membuktikan beliau mampu meraih sekurang-kurangnya 95 kerusi dari Semenanjung sebagai bekalan untuk dibawa berunding dengan blok Borneo.

Di samping itu, Anwar perlu membuktikan kepada rakyat bahawa beliau mempunyai aura yang lebih hebat daripada Mahathir dengan mampu menjinakkan Warisan.

Dan jangan lupa dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang mempunyai cita rasa dan maharnya sendiri untuk dibawa berunding.

Mohd Shafie Apdal

Sehingga hari ini, manusia yang paling mampu menjinakkan ketiga-tiga kategori itu ialah Mahathir. Beliau telah membuktikannya sebelum ini, dan beliau yang terlihat paling kredibel untuk melakukannya.

Persoalannya, dengan ketidaktentuan dan tanpa aura Mahathir, mampukah Anwar memimpin PH dan menang lagi pada PRU ke-15 nanti?

Sanggupkah rakyat mempertaruhkan lagi harapan - atau pun sekali lagi berdepan dengan kegagalan - seperti PRU 1999, PRU 2004, PRU 2008 dan PRU 2013?

Masa tamatkan sandiwara

Atau adakah rakyat sudah bersedia untuk menerima hakikat bahawa masa depan terbaik politik blok bukan BN harus diterajui oleh orang lain, atau generasi muda?

Jika semua pilihan ini tidak diambil kira, bersedialah kita untuk menjadi penonton kepada kerajaan korupsi-kleptokrasi Umno-BN terus bermaharajalela lagi.

Saya menyorot semua ini kerana ramalan politik ialah berdasarkan trend dan corak yang terbentuk melalui sejarah. Fakta sejarah tidak menipu kita.

Harapan saya sebagai ahli parlimen dan sebagai orang sentiasa berharap untuk negara ini terus ditadbir dengan baik ialah, biarlah kedua-dua tokoh ini segera mencari formula demi membentuk gandingan yang lebih mantap dan lebih kukuh berbanding sebelum ini.

Saya merayu dan menyeru semua pihak untuk mengutamakan kepentingan negara berbanding cita-cita peribadi. Ia bukan tentang siapa menjadi perdana menteri, tetapi ia adalah tentang negara yang kita cintai ini. Ia tentang aspirasi rakyat terbanyak.

Kejayaan dan pencapaian kita selama ini ialah penat lelah semua pihak: rakyat, penjawat awam, ahli-ahli parlimen sama ada backbenchers atau menteri-menteri.

Dan segala penat lelah ini akhirnya harus pulang kepada rakyat. Rakyatlah yang menikmati hasilnya.

Sanggupkah kita mengetepikan ini semua hanya untuk memenangkan cita-cita satu pihak?

Sekiranya perdebatan tentang siapa perdana menteri ini terus menjadi bualan terbuka dan tidak ditamatkan, PH akan terlihat mempunyai krisis dalaman yang tak sudah, momentum akan terus hilang dan akhirnya, kita telah membiarkan negara ini terus ditadbir oleh kerajaan yang korup dan rosak.

Sudah sampai masanya untuk kita tamatkan sandiwara ini, mencari titik pertemuan segera untuk terus berganding bahu dan kembali mentadbir negara.

Negara perlukan Mahathir. Negara juga perlukan Anwar Ibrahim.

Kata Albert Einstein: “Insanity is doing the same thing over and over again and expecting different results”.


DR MASZLEE MALIK ialah ahli parlimen Simpang Renggam dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.