Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri: Rapid KL tak ada kuasa akhiri SOP jarak sosial dalam tren

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata Rapid Rail tidak mempunyai kuasa untuk mengubah prosedur standard operasi (SOP) penjarakan sosial bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan perkhidmatan tren bahawa ia akan mengakhiri langkah penjarakan sosial apabila perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang akan berkuat kuasa esok.

"Rapid Rail tiada kuasa ubah SOP jarak sosial dalam tren, perlu rujuk MKN untuk sebarang perubahan," kata beliau pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Terdahulu hari ini, Rapid KL berkata tiada lagi peraturan penjarakan sosial akan dilaksanakan dalam tren dan stesen kendaliannya mulai esok.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Rapid Rail berkata langkah itu sejajar dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang bermula pada 10 Jun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Abdul Hadi Amran, berkata ia juga selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Pengangkutan untuk PKPP yang membenarkan kapasiti 100 peratus kepada semua perkhidmatan rel kecuali ETS dan KTM Intercity.

“Bermula 10 Jun 2020, di bawah PKPP, perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya, LRT Ampang/Sri Petaling, MRT laluan Sungai Buloh – Kajang dan laluan monorel, yang dikendalikan oleh Rapid Rail akan menamatkan arahan penjarakan sosial di dalam tren.

"Tanda-tanda penjarakan sosial di dalam tren dan stesen sudahpun dikeluarkan," katanya.

Namun demikian, kata Abdul Hadi, prosedur keselamatan dan kesihatan sedia ada akan diteruskan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.