Kastam patah cubaan seludup 85,000 liter air zam-zam
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk air zam-zam ke dalam negara selepas merampas 83,000 liter air berkenaan yang dianggar bernilai RM1.3 juta di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang dekat Shah Alam, Khamis lepas.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata air zam-zam yang dibawa dalam tiga kontena bersaiz 40 kaki itu melibatkan nilai cukai berjumlah kira-kira RM343,000.
"Tiga kontena itu diikrar membawa muatan barangan dagangan iaitu buah kurma dari negara Timur Tengah bagi tujuan import, namun pemeriksaan ke atas kontena itu mendapati ia membawa air zam-zam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya sedang berusaha mengesan pengimport dan ejen penghantaran yang terlibat dalam kes itu untuk tujuan siasatan di bawah Seksyen 135 (1)(g) Akta Kastam 1967.
Katanya, bagi kesalahan pertama mengikut akta itu, pihak yang didapati bersalah boleh didenda 10 kali nilai barang atau RM50,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai