Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO Rohingya: Kami akur tak boleh berjemaah dengan rakyat tempatan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sejak beberapa minggu lalu kebanyakan kes Covid-19 di negara ini membabitkan warga asing dan ia dilihat mendorong kerajaan mengehadkan kelonggaran sembahyang berjemaah di masjid hanya kepada rakyat Malaysia. 

Pengerusi Kemajuan Islam Untuk Rohingya, Mohammad Islam, menjelaskan bahawa komunitinya memahami tindakan yang dilakukan oleh kerajaan bagi membendung penularan Covid-19.

“Kami memang memahami keputusan pentadbiran kerajaan mengenai solat jemaah dalam masjid hanya buat rakyat sahaja kerana ramai warga asing dikaitkan dengan Covid-19.

“Kami juga faham mengapa kerajaan membuat keputusan tersebut, iaitu bagi menjaga keselamatan negara Malaysia,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Selain itu, Muhammad menjelaskan buat masa ini, warga asing boleh menunaikan solat di surau yang dibangunkan oleh komuniti masing-masing.

“Mereka boleh solat di tempat ibadat mereka sendiri, ada surau yang dibangunkan Rohingya sendiri dalam kawasan tertentu.

“Mereka boleh solat jemaah di situ dan saya rasa (warga asing) tidak perlu campur dengan rakyat tempatan sehingga kerajaan menamatkan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP),” katanya lagi.

Untuk rekod, warga asing menunjukkan peningkatan kes yang tinggi menerusi kluster depoh tahanan Jabatan Imigresen.

Kluster tersebut pertama kali dikesan ketika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian selepas beberapa warga Myanmar yang dihantar pulang dari Malaysia, didapati positif virus tersebut.

Pengerusi Komuniti Islam Arakan Kaman Malaysia, Mohd Zakirhussein Mohd Ali, berpendapat kerajaan boleh membuka kembali surau dan masjid buat semua umat Islam dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Mungkin boleh adakan SOP baru seperti penjarakan sosial supaya semua umat Islam boleh solat jemaah bersama-sama di masjid,” katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.