Skip to main
Logo Malaysiakini

MP Warisan nafi keluar parti, tegaskan sokongan pada Shafie

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lapan ahli parlimen Warisan mengeluarkan kenyataan bersama menafikan laporan yang mendakwa beberapa ahli parlimen parti mereka akan keluar dari parti.

Sebaliknya, mereka menegaskan kembali sokongan mereka terhadap kepemimpinan presiden parti dan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal.

"Kami merujuk kepada sebuah laporan berita di Harian Metro bertarikh 9 Jun 2020, yang bertajuk 'Ahli Parlimen Warisan dijangka keluar parti' dan beberapa kenyataan media sosial yang tidak berasas mengenai perkara yang sama yang ditularkan.

"Kami dengan tegas menolak khabar angin yang tidak berasas itu dan ingin menjelaskan bahawa laporan dan kenyataan tersebut adalah salah sama sekali.

"Ahli parlimen dari Warisan mempunyai kepercayaan penuh terhadap kepemimpinan Shafie, yang juga anggota parlimen Semporna dan kami terus berdiri teguh bersama ketua menteri kami melalui masa-masa sukar ini untuk negara kita," kata kenyataan lapan ahli parlimen Warisan itu.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Liew Vui Keong (Batu Sapi), Darell Leiking (Penampang), Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu), Azis Jamman (Sepanggar), Isnaraissah Munirah (Kota Belud), Ma'mun Sulaiman (Kalabakan), Ahmad Hassan ( Papar) dan Rozman Isli (Labuan).

Shafie merupakan ahli parlimen kesembilan yang mewakili Warisan di Parlimen.

"Kami tetap fokus pada hal-hal penting pada masa ini: membantu penduduk kawasan kami, negari dan negara secara umumnya, walau sekecil mana pun tanpa sesi parlimen, untuk mengatasi banyak cabaran mengerikan yang ditimbulkan oleh wabak Covid-19 ini," kata mereka.

Mereka menambahkan bahawa khabar angin tentang keluar parti itu menggambarkan keinginan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mempertahankan majoriti tipisnya di parlimen sebelum sesi Julai bermula, dengan usul tidak percaya menanti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Perkara itu (situasi dihadapi kerajaan) telah menyebabkan 'pembelian' ahli parlimen yang tidak beretika. Tetapi bukan kami. Kami tidak akan mengkhianati mandat rakyat. Kami tetap teguh dengan prinsip kami," kata mereka.

Sejak mengambil alih kerajaan persekutuan, PN telah berjaya menjatuhkan sejumlah kerajaan negeri yang sebelumnya diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) apabila beberapa ahli parlimen lompat parti.

Semalam menyaksikan bekas ketua menteri Sabah Musa Aman, yang dianggap sebagai saingan utama Shafie, dibebaskan dari 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan konsesi kayu di negeri itu setelah pihak pendakwaan memutuskan untuk menarik balik semua tuduhan.