Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno jangka senario politik Sabah berubah lepas Musa dibebas

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Umno Sabah menjangkakan senario politik negeri itu akan berubah selepas bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman dibebaskan daripada 46 pertuduhan di mahkamah semalam.

Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, berkata selaras dengan itu juga beberapa kemungkin di luar jangka akan berlaku dalam masa terdekat ini.

"Pertama Umno Sabah mengalu-alukan kemenangan Musa Aman di mahkamah semalam.

"Kedua terlalu awal untuk membicarakan tentang penglibatan beliau secara aktif dalam Umno Sabah dan saya akan cuba bertemu dengan beliau bagi tujuan perbincangan secara mendalam.

"Ketiga, melihat landskap politik semasa di Sabah, mungkin ada kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Musa daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan konsesi balak di negeri itu, selepas  pihak pendakwaan memohon untuk menggugurkan semua pertuduhan.

Peguam Francis Ng Aik Guan, yang mewakili Musa berkata kes itu perlu ada pengakhiran dan oleh itu pihaknya memohon kepada mahkamah memberi keputusan yang wajar iaitu dengan melepaskan dan membebaskan anak guamnya kerana dibimbangi tertuduh akan didakwa semula.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Muhammad Jamil Hussin menggunakan budi bicara hakim untuk melepaskan dan membebaskan Musa, 69 tahun, daripada semua tuduhan ketika prosiding mahkamah terbuka semalam.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada "kemungkinan" perubahan landskap politik akan membawa kepada perubahan kerajaan negeri Sabah, atau tidak, Bung berkata, kemungkinan itu sukar untuk diramal dan apa saja boleh berlaku.

"Berbagai kemungkinan yang sukar diramal boleh berlaku," katanya.